sukan

Lawan saja pasukan cap Ayam

Skuad Harimau Malaya berdepan kesukaran untuk mendapatkan perlawanan persahabatan susulan kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada bulan ini hanya untuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027.

Dengan ketiadaan perlawanan persahabatan ataupun perlawanan ujian, pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon sudah pasti bergelut untuk mencatur perancangan terbaik apatah lagi mereka perlu berdepan pasukan di ranking lebih baik, Oman pada hujung bulan ini.

Justeru, pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Fauzi Pilus mengharapkan skuad kebangsaan tetap dapat ‘memanaskan badan’ sekalipun terpaksa menguji pasukan di ranking bawahan ataupun menggunakan pasukan tempatan sebagai rakan ‘sparring’.

“Pasukan yang ada dalam liga pun boleh digunakan sebagai ‘sparring’ kerana pasukan liga pun sedang menyiapkan pasukan. Kalau Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat menjemput pasukan bawahan, mungkin ini boleh menjadi persiapan yang baik juga.

“Kalau ada kesesuaian untuk dapatkan pasukan bawahan, mungkin ada bagusnya. Tetapi kita serahkan pada kebijaksanaan barisan kejurulatihan untuk merencanakan apa yang sepatutnya.

“(Aksi persahabatan) sangat diperlukan oleh setiap pasukan. Ini kerana di sinilah barisan kejurulatihan akan menilai tahap permainan yang sesuai untuk perlawanan sebenarnya.

“Amat penting untuk kekalkan intensiti latihan itu dan mental pemain juga kena kuat. Pemain kena siap sedia daripada segi ini,” kata bekas Pengarah Teknikal PDRM FC itu.

Terdahulu, Pan Gon bakal berdepan cabaran besar untuk membentuk pasukan mantap bagi dua aksi menentang Oman pada 22 Mac di tempat lawan dan 26 Mac di Stadium Nasional Bukit Jalil selepas saingan domestik masih lagi berehat.

Sesi latihan juga akan berlangsung pada bulan Ramadhan dengan penganalisis bola sepak tempatan, Zakaria Rahim berpandangan Oman kini dilihat memiliki kelebihan khususnya dari segi ‘match fitness’ kerana liga di negara itu masih berjalan.

sumber:- BH

Malah, Zakaria juga menganggap skuad kebangsaan memerlukan sekurang-kurangnya perlawanan pemanas badan sekiranya tidak mendapat perlawanan persahabatan antarabangsa kerana kalendar FIFA bulan ini hanya untuk aksi kelayakan.