sukan

Debaran menanti Kedah

Nasib Kedah Darul Aman (KDA FC) kekal atau tidak di Liga Super dan pasukan Liga M3 mana yang akan diberikan Lesen Kebangsaan akan diumumkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini.

Keputusan itu dijangka diumumkan selepas mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL dan First Instance Body (FIB) yang berlangsung hari ini, di ibu pejabat badan induk penganjur Liga Malaysia (Liga M) itu.

“Ya, kami akan kemas kini esok (hari ini),” kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam ketika dihubungi Utusan Malaysia mengenai perkembangan KDA FC dan status pasukan Liga M3 yang naik ke Liga Super.

Untuk rekod, KDA FC diberikan tempoh sehingga kelmarin oleh FIB untuk menyelesaikan segala tunggakan gaji membabitkan pasukan berkenaan dan jika gagal mereka berisiko untuk diturunkan pangkat beraksi di Liga M3.

Kelmarin juga telah berlangsung sesi temuduga membabitkan empat pasukan Liga M3 iaitu Imigresen FC, Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers), Harini FT dan Perlis United yang sebelum ini memohon Lesen Kebangsaan.

MFL sebelum ini membuka semula permohonan lesen luar biasa (extraordinary license) kepada semua kelab Liga Bola Sepak Amatur (AFL) M3 untuk memohon lesen menyertai Liga Super 2024/2025.

Tawaran itu dibuka susulan keputusan FIB dan Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB) yang menolak permohonan Lesen Kebangsaan Kelantan FC untuk bertanding dalam musim baharu Liga Super.