sukan

Pemain Palestin sanggup tolak tawaran Mesir dan Qatar demi Malaysia

Pemain kelahiran Palestin, Oday Kharoub sah beraksi bersama Kelantan United Football Club (KUFC), musim ini.

Kehadiran pemain berusia 31 tahun itu diumumkan dalam satu sidang media selepas majlis tandatangan tiga pemain diumumkan KUFC, petang tadi.

Import pertama skuad Kijang Hijau yang akan mengisi posisi tengah bertahan itu bakal menyarung jersi bernombor 6.

Selain Oday, KUFC turut mengumumkan bekas pemain The Red Warriors (TRW), Mohammad Fazrul Amir Md Zaman dan pemain Terengganu FC, Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali yang juga anak jati Kuala Krai,Kelantan sebagai muka baru pasukan.

Oday berkata, dia turut menerima tawaran untuk beraksi bersama kelab dari Mesir dan Qatar, namun memilih KUFC kerana kerjasama dan sokongan Malaysia terhadap perang di Palestin sangat baik.

“Saya senang berada di Malaysia (Kelantan), kebanyakkan rakan (pemain bola) termasuk ketua jurulatih saya ada yang sudah syahid akibat peperangan di Gaza.

“Bila bermain di luar, saya bawa nama Palestin dan mahu tunjukkan pada dunia, kami juga masih bebas hidup termasuk boleh main bola,” katanya.

Oday berkata, dia juga akan cuba menguasai bahasa Melayu dan Inggeris untuk memudahkan komunikasi bersama rakan sepasukan selain mahu membantu KUFC berada di kelompok terbaik musim 2024.

Sementara itu, Presiden KUFC, Rozi Muhammad berkata, pemilihan Oday turut menjadi tanda solidariti Malaysia khususnya Kelantan bersama Palestin.

sumber:- BH

Katanya, kutipan tiket musim ini turut akan disumbangkan ke negara berkenaan dan meminta penyokong terus hadir ke stadium.