sukan

Tindakan Pan Gon harus dihargai sebaik mungkin

Sebahagian pemain muda negara bakal meraih ‘ilmu perang’ daripada ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon sebelum menghadapi Piala Asia bawah 23 (B-23) di Qatar, bulan depan.

Ia susulan tindakan pengendali dari Korea Selatan itu menyenaraikan beberapa pemain B-23 dalam 33 pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat skuad senior Harimau Malaya bermula Jumaat ini bagi menghadapi aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman pada 22 dan 26 Mac depan.

Bagaimanapun, sebahagian daripada 33 pemain itu akan melapor diri lewat iaitu pada 15 Mac dan sejurus selepas kehadiran mereka, beberapa pemain B-23 akan dilepaskan ke kem latihan pusat skuad B-23 kendalian Juan Torres Garrido.

Meskipun hanya kira-kira seminggu bakal berlatih di bawah kendalian Pan Gon, ia dianggap peluang terbaik buat pemain B-23 terbabit berguru dengan Pan Gon dan pemain senior untuk berperang di Piala Asia B-23 nanti.

Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar turut menyifatkan ia sebagai langkah yang bagus buat pemain muda terutama dalam tempoh mereka mempersiapkan diri untuk menggalas tugas bersama skuad B-23 bagi menghadapi kejohanan peringkat Asia.

Malah, beliau berkata, pemain B-23 tidak boleh dianggap sebagai pemain mentah kerana mereka juga memiliki kebolehan tinggi dan sudah matang seperti pemain senior dalam skuad kebangsaan.

“Ibarat pelajar yang baik kita gabungkan dengan pelajar yang bagus, maka dia akan jadi pelajar cemerlang. Jadi pemain muda apabila kita gandingankan dengan senior, mereka akan jadi cemerlang dan memberi saingan sihat kepada pemain senior.

“Sudah tentu persediaan mereka bersama skuad senior kebangsaan akan membuatkan mereka lebih bgaus dan bersedia untuk pertandingan B-23. Apabila kembali ke pasukan B-23, pemain lain pula akan berusaha bersaing dengan mereka dan ia satu benda yang bagus.

“Jurulatih B-23 selepas ini akan dapat pemain yang sudah bersedia untuk berperang. Ia kerana apabila dapat berlatih bersama skuad senior, mereka akan berada pada tahap lebih bersedia untuk dipersiapkan bagi menghadapi perlawanan,” katanya kepada BH Sukan.

Berdasarkan senarai yang diumumkan kelmarin, 11 pemain B-23 akan menjalani latihan di bawah Pan Gon dengan ada antara mereka sudah pernah bersama skuad senior sebelum ini.

sumber:- BH

Skuad B-23 negara akan menghadapi pusingan akhir Piala Asia B-23 bulan dengan dengan pasukan bimbingan Garrido itu diundi dalam Kumpulan D bersama Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait.