sukan

Skuad Malaysia benar-benar teruji

Taring skuad bawah 23 (B-23) tahun negara benar-benar bakal diasah menjelang saingan sebenar Piala Asia B-23 di Qatar April ini, apabila dua lagi pasukan disahkan akan menguji skuad Harimau Muda negara.

Selepas India disahkan akan berdepan pasukan negara, dua lagi gergasi Asia iaitu China dan Qatar pasukan terbaharu disahkan bertemu anak buah Juan Torres Garrido sebelum turun menentang Uzbekistan dalam aksi pembukaan Kumpulan D di Doha nanti.

Perkembangan itu dikongsikan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin kepada pihak media.”Lawan India sah main di sini (di Kuala Lumpur). Kita akan menentang Qatar nanti, mungkin dua kali dan juga China di Qatar, dah ‘confirm’.

“Kita akan pergi awal dan itu yang saya boleh sahkan,” katanya yang sebelum ini meletakkan harapan untuk melihat skuad B-23 melepasi peringkat kumpulan itu.

Di Qatar nanti, selain Uzbekistan yang bakal menjadi lawan pertama pada 17 April nanti, skuad negara turut dijadual berdepan Vietnam (20 April) dan Kuwait (23 April).

Dua pasukan terbaik akan layak ke suku akhir untuk mencari empat pasukan terbaik yang berpeluang layak ke Sukan Olimpik Paris, Julai ini.

Berdasarkan format kelayakan ke Olimpik, tiga pasukan terbaik di Piala Asia B-23 itu akan layak secara automatik manakala satu lagi pasukan terpaksa mengharungi aksi playoff bertemu wakil Afrika, Guinea untuk merebut tiket terakhir ke Paris.

Untuk rekod, Malaysia pernah dua kali layak ke Sukan Olimpik, masing-masing pada temasya 1972 di Jerman Barat dan saingan 1980 di Moscow.

sumber:- HM

Namun Olimpik 1980 menyaksikan Malaysia tidak menghantar kontinjen sebagai tanda boikot ekoran serangan Soviet Union ke atas Afganistan waktu itu.