sukan

Cristiano Ronaldo berdepan hukuman gara-gara isyarat lucah

Cristiano Ronaldo berdepan dengan pelbagai kritikan selepas tampil membuat isyarat lucah selepas membantu pasukannya Al Nassr menumbangkan Al Shabab 3-2 dalam perlawanan menarik Liga Pro Saudi, malam tadi.

Ketua pasukan Portugal itu membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-21 sebelum Talisca meledak dua gol untuk memastikan tiga mata penuh berjaya di bawa pulang biarpun tuan rumah cuba bangkit dengan dua gol.

Begitupun sebaik tiupan wisel penamat ditiupkan, tindakan Ronaldo meraikan kemenangan itu dengan membuat isyarat lucah ke arah penyokong Al Shabab hingga menyebabkan pemain terbaik dunia itu dikritik di laman sosial.

Susulan tindakan Ronaldo itu, media tempatan di Arab Saudi melaporkan Persatuan Bolasepak (FA) di negara itu kemungkinan akan menyiasat perkara terbabit dan hukuman bakal dikenakan.

“Jawatankuasa Disiplin sedang berdepan ujian terbesar. Mereka (FA) akan tunggu dan lihat,” kata Waleed Al Farraj, seorang penulis dan pengacara televisyen terkemuka Saudi, di platform media sosial X.

“Semuanya ada hadnya, tidak kira betapa terkenalnya anda. Beginilah liga utama,” katanya lagi.

sumber:- HM

Bagaimanapun, pengurusan tertinggi Al Nassr enggan mengulas lanjut dan hanya mengunci mulut tentang insiden itu.