sukan

Stadium Nasional Bukit Jalil kembali cetus Kebimbangan

Stadium Padang Nasional Bukit Jalil tampaknya bakal diuji sekali lagi susulan penganjuran konsert artis antarabangsa, Ed Sheeran di stadium terbabit, hari ini.

Ia susulan gambar tular di media sosial yang memaparkan persiapan bagi konsert artis terbabit yang diadakan di tengah padang Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dalam gambar yang tular itu, kelihatan persiapan untuk pentas sudah ‘terpacak’ di tengah padang namun ia diletakkan di atas pelapik dengan tiada sentuhan secara langsung ke atas permukaan padang.

Meskipun kelihatan ‘berlapik’ namun kebimbangan tetap tercetus sekiranya kualiti padang yang baru ditukar ke rumput Zeon Zoysia itu sekali lagi akan terjejas.

Bukan mahu menidakkan fungsi Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai stadium pelbagai guna dan bukanlah hak eksklusif untuk bola sepak semata-mata, namun skuad Harimau Malaya dijangka menggunakan venue sama bagi aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027, 26 Mac ini.

Berbaki hanya sebulan untuk pertembungan menentang Oman itu, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sudah pasti perlu memastikan padang berada dalam keadaan yang benar-benar terbaik bagi mengelak ‘tragedi’ di konsert Coldplay berulang.

Sebelum ini, PSM pernah dihentam susulan kegagalan menyediakan padang yang terbaik untuk aksi final Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) selepas menganjurkan konsert Coldplay, 22 November lalu.

Selepas penganjuran konsert itu, padang SNBJ menjadi bagaikan ‘kuih seri muka’ apabila padang tidak berada dalam keadaan terbaik sehingga ditegur pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

sumber:- BH

Situasi itu memaksa PSM memohon maaf atas kerosakan padang SNBJ dan mengakui tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membaiki dan mengembalikan padang ke tahap optimum selepas konsert terbabit.