sukan

FAM turun pantau

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengharapkan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dapat berada dalam keadaan terbaik bagi aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Oman, 26 Mac ini.

Justeru, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Mohd Firdaus Mohamed menjelaskan badan induk itu akan sentiasa memantau situasi membabitkan SNBJ terutama selepas timbul kemungkinan padang akan ‘lunyai’ selepas penganjuran konsert artis antarabangsa, Ed Sheeran, malam ini.

Malah, Firdaus berkata, FAM akan mengadakan lawatan ke SNBJ dan turut mendapatkan perkembangan terkini daripada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) berhubung situasi terbabit.

“Kami akan mengadakan lawatan bagi melihat keadaan padang sebaik konsert terbabit berakhir dan ketika ini adalah tidak adil untuk FAM mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Pada masa sama, FAM juga berharap keadaan padang berada pada tahap terbaik menjelang perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 itu.

“Perlawanan menentang Oman cukup penting dalam usaha Harimau Malaya mengukuhkan kedudukan dalam kumpulan D bagi mencerahkan peluang ke pusingan seterusnya,” katanya.

Terdahulu, padang SNBJ tampaknya bakal ‘tersakiti’ sekali lagi susulan penganjuran konsert artis antarabangsa, Ed Sheeran selepas venue sama menjadi bagaikan ‘kuih seri muka’ susulan konsert Coldplay, November lalu.

Ia susulan tular di media sosial mengenai gambar yang memaparkan persiapan bagi konsert artis terbabit yang diadakan di tengah padang Stadium Nasional Bukit Jalil.

Harimau Malaya dijangka menggunakan venue sama bagi aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027, 26 Mac ini.

sumber:- BH

Berbaki hanya sebulan untuk pertembungan menentang Oman itu, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sudah pasti perlu memastikan padang berada dalam keadaan yang benar-benar terbaik bagi mengelak ‘tragedi’ di konsert Coldplay berulang.