sukan

Rezeki skuad wanita Malaysia — Rexy

BIARPUN terlepas slot separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 minggu lalu, skuad wanita negara boleh menarik nafas lega apabila berpeluang beraksi ke pusingan akhir Piala Uber di China April depan.

Ia berdasarkan mata ranking berpasukan yang membolehkan Malaysia bersama Taiwan dan Amerika Syarikat melengkapkan 16 pasukan secara keseluruhan.

Perkhabaran itu nyata menggembirakan pengarah kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky yang mahu pemain meningkatkan usaha dan bekerja keras bagi memberi saingan sengit kepada pasukan lain.

Malah beliau juga mengingatkan pemain bahawa beberapa bulan mendatang merupakan detik penting buat mereka selain perlu berkorban demi negara pada kejohanan di Chengdu bermula 27 April hingga 5 Mei itu.

Justeru pemain termasuk beregu wanita utama, Pearly Tan-M Thinaah perlu membuktikan kemampuan mereka menerusi peluang kedua yang terhidang itu.

“Pearly-Thinaah perlu membina kekuatan mental dan fizikal mereka. Bulan-bulan mendatang penting buat mereka.“Mereka perlu berkorban untuk menjadi pencabar pada Piala Uber untuk meraih mata ke Sukan Olimpik Paris pada Julai,” katanya.

Rexy turut mendedahkan bahawa beberapa pemain lain akan diberi pendedahan untuk menyertai kejohanan di luar negara.”Pemain perseorangan seperti K Letshanaa, Wong Ling Ching serta Siti Nurshuhaini Azman mungkin akan dihantar ke luar negara untuk latihan singkat dan menyertai kejohanan,” ujar Rexy.

sumber:- SH

Dalam saingan BATC, Malaysia tersingkir dalam aksi suku akhir setelah tewas kepada Indonesia 3-0.Pada Piala Uber di Bangkok dua tahun lalu, Malaysia gagal melepasi peringkat kumpulan selepas tewas kepada Thailand (4-1) dan Denmark (3-2).