sukan

Morales untung besar

Pemain naturalisasi negara, Romel Morales berpeluang cerah untuk menambah koleksi kejuaraan dalam kancah bola sepak tempatan selepas menyertai gergasi Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Ta’zim (JDT) musim ini.

Sejak membuat penampilan dalam Liga M enam tahun lalu, Morales hanya pernah menjulang Piala Malaysia bersama Kuala Lumpur (KL) City pada 2021 selain bergelar naib juara Piala AFC 2022.

Kini, pemain kelahiran Colombia itu berpotensi untuk bermain lebih banyak bunga api dan berkemungkinan boleh merasai nikmat menjulang semua trofi dalam Liga M termasuk Piala Sumbangsih, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Ia berdasarkan reputasi besar dimiliki JDT dengan skuad Harimau Selatan turut dicanang akan terus menyapu bersih trofi terbabit seperti yang dilakukan pada 2022 dan 2023.

Malah, Morales juga berpeluang untuk beraksi di pentas saingan tertinggi kelab Asia iaitu Liga Elit Juara-Juara Asia (ACLE).

Menerusi kenyataan di laman Instagram miliknya, penyerang berusia 26 tahun itu menyifatkan sebagai satu penghormatan buat dirinya apabila mendapat peluang untuk menyertai kelab hebat seperti JDT.

Justeru, dia menzahirkan ucapan terima kasih terutama kepada pemilik kelab itu, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim kerana membuka pintu buatnya memasuki skuad Harimau Selatan.

“Sangat teruja dengan cabaran baru dalam kerjaya saya. Ia satu penghormatan untuk berada di sini mewakili kelab hebat @officialjohor (JDT).

“Saya sentiasa mempunyai keinginan yang sama untuk menyumbang dan memberikan yang terbaik kepada pasukan.

“Terima kasih kepada semua orang yang menjadikannya kenyataan terutama terima kasih kepada @hrhcrownprinceofjohor (Tunku Mahkota Ismail) untuk peluang ini!,” katanya.

sumber:- BH

Morales mula beraksi di Liga M bersama PKNS pada 2018 hingga 2019 sebelum berhijrah ke Melaka United (2020) dan tiga musim mewakili KL City (2021-2023).