sukan

Malaysia layak melalui pintu belakang

Walaupun terlepas aksi separuh akhir Kejohanan Badminton Asia Berpasukan (BATC) minggu lalu, skuad wanita negara berjaya menyelinap masuk melalui pintu belakang untuk layak ke Pusingan Akhir Piala Uber April ini.

Malaysia, bersama Taiwan dan Amerika Syarikat (AS), layak ke kejohanan berkenaan berdasarkan kedudukan ranking pasukan keseluruhan.

Pengarah kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky mahu pemain menggandakan usaha bagi mengelak dimalukan di Chengdu, China pada 27 April hingga 5 Mei ini.

Rexy berkata, bahawa pasangan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah perlu memperbaiki banyak perkara dalam beberapa bulan akan datang.

“Pearly-Thinaah perlu membina kekuatan mental dan fizikal mereka.

“Beberapa bulan akan datang adalah penting dan mereka perlu berkorban untuk menjadi pencabar di Sukan Olimpik Paris pada Julai.

“Bagi pemain perseorangan kami seperti K Letshanaa, Wong Ling Ching dan Siti Nurshuhaini Azman, kami mungkin menghantar mereka ke luar negara untuk latihan singkat,” kata Rexy.

Di BATC, Malaysia menewaskan pasukan Emiriah Arab Bersatu 5-0 dan tewas 1-4 kepada Thailand untuk menduduki tempat kedua dalam kumpulan Y.

Malaysia tersingkir daripada saingan selepas tewas 0-3 kepada Indonesia di suku akhir.

Pada Piala Uber edisi sebelum ini di Bangkok dua tahun lalu, Malaysia gagal melepasi peringkat kumpulan selepas tewas kepada Thailand (1-4) dan Denmark (2-3).

sumber:- HM

Satu-satunya kemenangan pasukan itu ialah menentang Mesir (5-0).