sukan

Gaji murah dan masih muda jadi pilihan

Pasaran perpindahan pemain Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/25 tampak dikuasai ‘ubi muda’ berbanding pemain senior atau lebih ternama.

Ia berdasarkan ‘trend’ ketika ini apabila kebanyakan pasukan Liga M dikatakan lebih terarah kepada mengikat pemain muda atau yang sedang meningkat naik berbanding pemain sudah memiliki nama dalam kancah bola sepak tempatan.

Situasi itu meletakkan pemain senior sukar untuk mendapatkan pasukan dan difahamkan beberapa pemain ternama termasuk yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan masih tercari-cari majikan baharu.

Aspek kewangan menjadi faktor mengapa kebanyakan pasukan mengambil pendekatan merekrut pemain muda yang membabitkan kos tidak begitu tinggi bagi mengelak berlaku isu tunggakan gaji pada masa hadapan.

Selain tidak memiliki banyak pilihan, pemain berstatus senior didakwa terpaksa berdepan pengurangan gaji hingga 30 peratus berbanding jumlah yang diterima mereka sebelum ini.

Difahamkan, ada beberapa pasukan Liga Super yang membayar gaji pemain mereka dengan purata antara RM5,000 hingga RM10,000 dan hanya beberapa pemain sahaja dibayar gaji tinggi.

Perkembangan itu boleh dianggap bagus kerana sesetengah pengurusan kelab seakan sedar mengenai kemampuan kewangan mereka dan mengukur baju di badan sendiri dalam berbelanja untuk membentuk pasukan.

Pengarah Sukan SS10 Asia Sdn Bhd, Dr Faidauz Azhar berkata tindakan sesetengah pasukan mengikat pemain muda kerana faktor bayaran gaji yang tidak terlalu tinggi.

Beliau yang juga pengurus dan mentor untuk beberapa pemain bola sepak profesional tempatan berkata, terdapat pasukan yang mengurangkan jumlah pemain untuk didaftarkan sekali gus menyaksikan pemain tidak mempunyai banyak pilihan.

“Biasanya pasukan mendaftarkan hingga 30 pemain, tetapi kali ini ada pasukan yang hanya mendaftarkan 25 atau 26 pemain termasuk import.

“Penawaran (pemain) lebih tetapi permintaan kurang. Jadi, pemain tiada pilihan dan tidak boleh mengharapkan mereka mendapat gaji tinggi seperti yang diterima sebelum ini.

“Kebanyakan pasukan kurangkan bajet dan pengurusan kelab dilihat berbelanja mengikut kemampuan mereka kerana bimbang berlaku isu tunggakan gaji,” katanya kepada BH Sukan.

sumber:- BH

Beberapa pasukan termasuk Perak, Penang, Negeri Sembilan dan Selangor dijangka bakal mempertaruhkan beberapa pemain muda terutama yang dinaikkan pangkat dari skuad bawah 23 (B-23) tahun.