sukan

Safawi, Akhyar hanya ‘duduk di tempat penonton’

Impian Terengganu FC (TFC) untuk ‘merantai’ dua tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid dan Akhyar Rashid akhirnya menjadi kenyataan semalam.

Namun, kedua-dua penyerang skuad Harimau Malaya itu terpaksa berada di tempat duduk penonton jika skuad Pantai Timur itu bertembung dengan gergasi Liga Malaysia (Liga M) itu bagi musim 2024/2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd Mohd Sabri Abas, mengakui kedua-dua pemain itu tidak dapat disenaraikan dalam kesebelasan utama pasukan jika TFC bertembung dengan skuad Harimau Selatan itu.

“Ya betul, Safawi dan Akhyar tidak dapat beraksi jika bertemu JDT kerana mereka berstatus pinjaman sebagaimana pemain naturalisasi musim lalu, Liridon Krasniqi.

“Ini hasil persetujuan yang ditandatangani dengan JDT tetapi kita harapkan mereka mampu memberikan impak yang lebih padu buat pasukan terutama di jentera serangan bergandingan dengan penyerang import dari Croatia, Ivan Mamut dan seorang lagi penyerang import yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Bagi sesi latihan pertama pada Khamis ini, Safawi dan Akhyar akan turut sertai latihan itu di bawah kendalian ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner,” ujar Mohd Sabri ketika dihubungi.

Terdahulu menerusi satu video daripada pihak pengurusan TFC, Safawi dan Akhyar yang dilepaskan secara pinjaman oleh JDT, sah menjadi milik skuad Penyu dalam mengharungi kancah Liga M yang bakal bermula 10 Mei depan.

sumber:- BH

Safawi, 27, anak kelahiran Dungun Terengganu bakal menyarung jersi bernombor 11 manakala Akhyar, 25, pemain kelahiran Kedah akan memakai jersi bernombor 33, dengan kedua-dua pemain bernilai itu menandatangani kontrak selama setahun.