sukan

Perjuangan Sabah terhenti Piala AFC

Perjalanan Sabah FC di Piala AFC berakhir di peringkat separuh akhir Zon ASEAN selepas wakil tunggal negara itu tumbang 0-3 di tangan kelab dari Australia, Macarthur FC, sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad bimbingan Mile Sterjovski mengesahkan slot ke final Zon ASEAN sekali gus melebarkan rekod tanpa kalah dalam lapan perlawanan.

‘Rehat’ dua bulan tanpa sebarang aksi kompetitif selepas Liga Malaysia (Liga M) berakhir pada Disember tahun lalu sedikit sebanyak membuatkan Sabah FC bergelut untuk memperaga aksi terbaik menentang tuan rumah.

Pada aksi di Stadium Sukan Campbelltown, tuan rumah lebih mendominasi perlawanan namun mereka perlu menunggu sehingga minit ke-40 untuk membuka jaringan menerusi penyudah Ulises Davila.

Davila yang juga bekas pemain Chelsea menyambut hantaran Jed Drew dari sebelah sayap kanan Macarthur dan mengawalnya dengan baik sebelum melepaskan rembatan untuk merobek gawang kawalan Khairul Fahmi Che Mat.

Hasrat skuad ‘Badak’ untuk bangkit pada babak kedua bertambah sukar apabila tuan rumah terus melebarkan jurang selepas hanya 25 saat selepas babak kedua bersambung.

Drew yang menjadi perancang gol pertama kali ini mencetak nama selaku penjaring gol kedua selepas dia berjaya melepasi kawalan Daniel Ting dan melepaskan rembatan untuk menewaskan Khairul Fahmi buat kali kedua.

Drew terus ‘mengganas’ apabila menambah derita Sabah FC dengan gol ketiga selepas pemain berusia 20 tahun itu menyempurnakan hantaran Bernardo Oliveira ketika saingan berbaki 10 minit.