Ketika ada segelintir penyokong Korea Selatan mahukan Kim Pan Gon kembali, namun mereka atau Persatuan Bolasepak Korea Selatan (KFA) boleh melupakan ‘angan-angan’ terbabit.
Ini kerana Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan pengendali itu tidak boleh ‘disentuh’ dan badan induk itu sudah menyediakan perancangan yang panjang untuk Pan Gon.
Malah, Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi melihat amat mustahil untuk skuad Harimau Malaya ‘melepaskan’ Pan Gon ketika ada misi penting selepas ini iaitu mengharungi baki Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, bulan depan.
“Kita mendengar banyak permintaan dari orang di luar sana dan ada juga yang mahukan dia keluar. FAM ada perancangan tersendiri bagi memastikan peningkatan yang sudah dilakukan Pan Gon dapat diteruskan.
“Buat masa ini, tiada permintaan rasmi daripada KFA untuk mendapatkan semula khidmat Pan Gon untuk dipanggil kembali ke Korea Selatan ketika perlawanan (kelayakan Piala Dunia) menentang Oman terlalu hampir.
“Malah, KFA yang mencalonkan Pan Gon kepada kami sebelum ini dan saya rasa tidak mungkin pihak mereka panggil kembali ketika Pan Gon sedang berusaha untuk membantu meningkatkan bola sepak kita,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat EXCO di Wisma FAM, hari ini.
Dalam masa sama, Yusoff turut mengesahkan badan induk itu sudah ‘mengikat’ Pan Gon dengan kontrak lanjutan dengan perancangan jangka panjang sudah pun dilakukan.
“Kita juga sudah menandatangani kontrak lanjutan dengan Pan Gon serta ada perancangan jangka panjang dengan Pan Gon.
“FAM harap kita akan lebih bersedia dan dapat meneruskan momentum pada kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 nanti,” katanya.
Terdahulu, prestasi kurang memberangsangkan skuad ‘Taeguk Warriors’ pada pentas Piala Asia 2023 menyaksikan masa depan Jurgen Klinsmann menjadi tanda tanya.
sumber:- BH
Melihat komen penyokong Korea Selatan di media sosial, ada antara mereka mahukan Pan Gon untuk kembali membantu bola sepak Korea Selatan.