sukan

Piala AFC : Kim Swee mula lancar ‘perang’ psikologi

Wakil dari Australia, Macarthur jelas memiliki kelebihan dalam misi melayan kunjungan Sabah FC di Stadium Sukan Campbelltown bagi aksi separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC 2023/24, petang esok.

Situasi itu diakui pengendali skuad ‘Badak’, Datuk Ong Kim Swee yang melihat Macarthur ketika ini sedang berada pada momentum terbaik memandangkan mereka masih mengharungi aksi domestik berbanding Sabah FC yang sudah ‘berehat’ hampir dua bulan.

“Sudah tentu ia sukar kerana saingan liga kita sudah berakhir pada Disember tahun lalu dan kita tidak mengharungi sebarang perlawanan sehinggalah esok.

“Prestasi Macarthur juga sangat baik di mana mereka belum tewas dalam tujuh perlawanan terakhir dan berada pada kedudukan yang baik dalam liga juga.

“Ini bukanlah satu perlawanan yang mudah tetapi kita ada ramai pemain tonggak yang masih kekal dan akan berjuang untuk memperagakan aksi yang terbaik,” kata Kim Swee pada sidang media praperlawanan, hari ini.

Sebagai rekod, Sabah FC menjadi wakil tunggal negara yang masih meneruskan perjuangan di pentas Piala AFC selepas satu lagi wakil di Piala AFC, Terengganu FC (TFC) terkandas di peringkat kumpulan.

Aksi ini sangat getir memandangkan ia hanya membabitkan satu perlawanan dan pemenang aksi ini akan mengesahkan slot ke final zon ASEAN Piala AFC 2023/24.

sumber:- BH

Satu lagi aksi separuh akhir Zon ASEAN membabitkan pertembungan antara Central Coast Mariners berdepan Phnom Penh Crown.