Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong mendedahkan terdapat ‘entiti’ mengganggu skuad terjun negara dan kesannya terjadi apabila mereka gagal beraksi cemerlang sewaktu Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar minggu lalu.
Menurut Pandelela, beliau akan membawa perkara itu kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk membincangkan masalah yang mereka hadapi kerana ia juga turut mengganggu penerjun senior dan juga penerjun ‘junior’.
“Ada perkara yang tidak kena berlaku dan itulah yang terjadi. Perkara itu telah menjadi tambahan kepada semua yang berlaku,” katanya.
Kegagalan di Doha menjadi tamparan kepada skuad terjun negara apabila Pandelela yang berada dalam senarai atlet dalam Program Road To Gold (RTG) terlepas peluang ke Paris 2024 selepas terkandas di pusingan kelayakan di Doha dalam acara kegemarannya 10 meter (m) platform individu.
Bukan itu sahaja malahan dia juga turut gagal melayakkan diri dalam acara 10m platform seirama bersama gandingannya Nur Dhabitah Sabri apabila mengakhiri acara final di kedudukan ke-12 daripada 16 pasangan.
“Ada yang berlaku berada di luar kawalan kami, yang mana kami boleh kawal, kami cuba untuk mengawalnya. Ada bendalah yang berlaku di luar jangkaan kami, hendak diperjelaskan nanti panjang cerita. Apa yang saya boleh katakan ada perkara luar jangkaan yang berlaku dan nasib tidak menyebelahi kami.
“Boleh dikatakan hampir kesemua kami (penerjun) terkesan dengan perkara ini. Dia bukan sahaja mengganggu penerjun senior, juga penerjun junior. Lebih baik saya membincangkan perkara ini secara dalaman,” katanya.
Berdasarkan rekod, Pandelela pernah beraksi dalam empat Sukan Olimpik bermula dari Beijing 2008, London 2012, Rio 2016 dan Tokyo 2020.
Pada London 2012, atlet kelahiran Sarawak itu mencipta sejarah sebagai atlet wanita pertama negara memenangi pingat Olimpik (gangsa) menerusi acara 10m platform individu.
sumber:- HM
Empat tahun kemudian di Rio 2016, dia meraih pingat perak bersama bekas penerjun, Cheong Jun Hoong menerusi acara 10m platform seirama wanita.