sukan

ZamSaham dedah keputusan Vera

Jurulatih Kelantan FC, Angel Alfredo Vera memberi bayangan akan terus kekal bersama pasukan The Red Warriors (TRW) untuk menghadapi saingan liga bagi musim 2024/2025.

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman berkata, beliau sedia bekerja dengan jurulatih kelahiran Argentina itu dan dia akan terus diberikan tanggungjawab membimbing pasukan.

Tambahnya, dari segi pemilihan pemain, Vera akan diberikan peranan untuk membentuk dan membina semua pasukan TRW.

“Dia (Angel Alfredo Vera) ada menyatakan hasrat untuk bersama Kelantan FC bagi musim seterusnya. Dari segi pemain, dia pasti akan melakukan pemilihan mendapatkan pemain terbaik bagi pasukan Kelantan FC,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Untuk rekod, Vera menyertai Kelantan FC pada pertengahan tahun lalu sebagai jurulatih baharu menggantikan pengendali dari Korea Selatan, Choi Moonsik dan Frank Bernhardt dari Jerman.

Ketika ini, pasukan TRW sudah menghantar permohonan kepada Liga Amatur Malaysia (AFL) pada hujung Januari lalu dan keputusan itu akan ketahui dalam masa terdekat.

sumber:- HM

Terdahulu, Arena Metro melaporkan Kelantan FC tidak mahu mengangkat bendera putih dalam kancah saingan Liga Malaysia (Liga M) apabila akan bermula dari bawah dengan beraksi di saingan Liga M3.