Pasukan tuan rumah, Qatar mempertahankan gelaran juara Piala Asia apabila menumbangkan Jordan 3-1 dalam aksi final di Stadium Lusail sebentar tadi.
Hatrik daripada bintang utama, Akram Afif — kesemuanya melalui tendangan penalti — memastikan kemenangan Qatar biarpun Yazan Al-Naimat berhasil menyamakan kedudukan buat Jordan dalam babak kedua.
The Maroons bergelar juara pada 2019 dengan mengatasi Jepun 3-1 dan kali ini, mereka mengulangi pencapaian sama untuk bergelar juara di laman sendiri, sekali gus menidakkan penamat indah kisah dongeng yang cuba digarap Jordan dalam penampilan final pertama mereka.
Akram Afif dijatuhkan Abdallah Nasib dan penyerang Al Sadd itu kemudian memanfaatkan peluang itu untuk menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-22 bagi meletakkan Qatar di depan.
Dengan kelebihan satu gol itu, Qatar memilih untuk lebih bertahan dalam babak kedua dan ia menyaksikan Jordan melancarkan asakan bertali arus ke gawang mereka, antaranya menerusi percubaan voli akrobatik Yazan Al-Arab dan kuisan tumit Noor Al-Rawabdeh yang diselamatkan penjaga gol, Meshaal Barsham.
Jaringan penyamaan yang ditunggu-tunggu Jordan akhirnya tiba pada minit ke-67 apabila Yazan Al-Naimat menemui lintangan lambung ketua pasukan, Ihsan Haddad, sebelum melepaskan rembatan kencang ke jaring Meshaal Barsham.
Bagaimanapun, kedudukan itu tidak kekal lama apabila Qatar sekali lagi memperoleh sepakan penalti hasil bantuan semakan VAR, yang kali ini mengesan tindakan Mahmoud Al-Mardi menjatuhkan Ismail Mohamad sebelum Akram Afif memperoleh jaringan kedua peribadinya dengan menyempurnakan sepakan itu.
Ketik Jordan kelihatan masih memiliki sinar untuk bangkit menyamakan kedudukan, kelicikan Akram Afif dalam meloloskan diri daripada perangkap ofsaid jelas menafikan harapan itu, di mana penjaga gol mereka, Yazeed Abulaila, didapati bersalah merempuh penyerang berkenaan.
sumber:- SA
Kesempatan itu dimanfaatkan Akram Afif untuk menjaringkan gol ketiganya untuk dia bukan sahaja menamatkan kempen edisi ini dengan membantu Qatar bergelar juara, malah turut bergelar penjaring terbanyak kejohanan itu dengan tujuh gol — lebih satu gol berbanding penggempur Iraq, Aymen Hussein.