sukan

JDT dedah terdapat cubaan heret kelab itu ke dalam perangkap

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) percaya terdapat percubaan untuk mengheret kelab itu ke dalam perangkap perang bidaan pemain.

Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards apabila pihaknya ditawarkan seorang pemain Malaysia yang bermain di luar negara.

Beliau berkata, skuad Harimau Selatan bagaimanapun menolak tawaran berkenaan disebabkan harga yang disebutkan adalah tidak munasabah.

“Kami percaya terdapat percubaan untuk meningkatkan nilai pemain dengan mencipta perang bidaan, sesuatu yang JDT tidak akan terperangkap,” kata Edwards di Facebook rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers.

Selain itu, Edwards menjelaskan bahawa juara 10 kali berturut-turut Liga Super itu sudah mempunyai skuad yang baik selepas membawa masuk beberapa pemain baharu bagi menghadapi musim 2024/25.

“Kami percaya skuad Harimau Selatan 2024/25 sudah mempunyai ‘squad depth’ yang baik berdasarkan beberapa pemain yang sudah diumumkan setakat ini.

“Beberapa (pemain) lagi akan menyusul yang mana ia bukan sahaja memperkuatkan skuad tetapi juga menepati 40 peratus pengurangan perbelanjaan berbanding musim sebelumnya,” katanya.

JDT sebelum ini mengumumkan pemain import baharu bernilai tinggi termasuk Jalil Elias, Francisco Geraldes dan Murilo Henrique bagi menghadapi saingan musim 2024/2025.

sumber:- BH

Malah, skuad Harimau Selatan juga bakal diperkuatkan dengan seorang pemain naturalisasi dengan Romel Morales dikhabarkan sebagai calon pemain itu.