Situasi tunggakan gaji dialami pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC kian parah apabila sudah berlanjutan sehingga empat bulan dan menjadikan pemain bagaikan pengemis untuk mendapatkan hak mereka.
Susulan itu, terdapat cadangan supaya masalah itu dipanjangkan kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor supaya isu terbabit dapat diselesaikan.
Namun, pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustaffa berpandangan pasukan tidak boleh mengharapkan ‘ihsan’ Menteri Besar kerana pasukan kini bukan lagi di bawah kerajaan negeri tetapi berdiri sebagai satu entiti swasta.
“Kalau masa persatuan dahulu, mungkin bolehlah tetapi kalau dengan keadaan sekarang, ia akan jadi ‘conflict of interest’. Kenapa kerajaan negeri nak dukung pasukan dengan kira-kira 25 pemain berbanding menjaga jutaan rakyat Kedah.
“Kerajaan negeri ada tanggungjawab dan beri keutamaan kepada kebajikan rakyat. Dalam era bola sepak profesional, pemilik pasukan yang kena tunaikan janji mereka,” kata Sadek.
Dalam masa sama, Sadek juga mempersoalkan keputusan pemain KDA FC yang dilihat ‘memendam rasa’ terlalu lama sedangkan mereka boleh mengambil tindakan sewajarnya lebih awal mengikut peruntukan undang-undang dalam kontrak ditandatangani.
“Kenapa tunggu sampai empat bulan? Sepatutnya apabila sudah berlaku isu ini, mereka perlu ikut proses yang sepatutnya dengan membuat laporan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).
“Jika mereka mengambil tindakan lebih awal, mungkin perkara tidak akan berlanjutan sehingga ke empat bulan. Tetapi liga pun sudah berakhir jadi pengurusan mungkin boleh melambat-lambatkan proses pembayaran ini.
“Pemain pun perlu faham peruntukan dalam kontrak mereka yang mana memihak kepada mereka. Tetapi mereka seperti tidak ambil berat dengan kebajikan mereka sedangkan mereka tahu senario ini sentiasa berlaku dalam kancah bola sepak tempatan.
sumber:- BH
“Apapun, mereka perlu mendapatkan hak mereka dan kalau tidak diselesaikan juga, mereka perlu tuntut hak mereka menerusi mahkamah,” katanya.