sukan

Piala Asia: Qatar mara ke Final , selangkah pertahan kejuaraan

Qatar hanya selangkah untuk mempertahankan Piala Asia selepas mara ke final sekali gus akan berdepan Jordan bagi menentukan gelaran ‘Raja Asia’ di Stadium Lusail, Sabtu ini.

Kejayaan itu hadir selepas skuad bimbingan Bartolome Marquez itu menewaskan Iran 3-2 pada aksi separuh akhir Piala Asia 2023 di Stadium Al-Thumama, awal pagi tadi.

Keputusan ini menyaksikan Iran yang juga pasukan nombor dua Asia itu sekali lagi kandas di separuh akhir seperti yang dialami mereka pada edisi 2019 sebelum ini.

Iran beroleh permulaan impian apabila mendahului seawal minit ketiga menerusi jaringan akrobatik Sardar Azmoun yang berjaya menewaskan Meshaal Barsham berpunca daripada lontaran jauh Alireza Jahanbakhsh.

Iran mensia-siakan peluang menambah gol kedua pada minit ke-11 apabila hantaran lintang Jahanbakhsh gagal ditampan Mehdi Taremi di hadapan pintu gol Qatar.

Rembatan Jasssem Gaber Abdulsallam tertampan Saeid Ezatolahi dan mengelirukan penjaga gol Iran, Alireza Beiranvand sekali gus membolehkan Qatar menyamakan kedudukan pada minit ke-16.

Akram Afif melengkapkan kebangkitan Qatar pada minit ke-43 selepas dia yang dikepung empat pertahanan Iran berjaya melepaskan satu rembatan untuk menewaskan Beiranvand buat kali kedua.

Iran tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan pada babak kedua selepas Jahanbakhsh menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-50 hasil bantuan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Terikat 2-2, kedua-dua pasukan rancak mengatur serangan namun Almoez Ali meledak gol ketiga Qatar pada minit ke-82 dan hasrat Iran untuk bangkit bertambah sukar selepas Shoja Khalilzadeh dilayangkan kad merah pada minit ketiga masa tambahan.

Qatar cemas apabila tolakan Jahanbakhsh terkena tiang gol pada minit akhir perlawanan dan keputusan 3-2 kekal berpihak ke Qatar untuk juara bertahan itu mengesahkan slot ke final buat kali kedua berturut-turut.

Terdahulu, Jordan mencipta sejarah mara ke final Piala Asia buat kali pertama selepas menumbangkan antara pasukan pilihan, Korea Selatan 2-0 di Stadium Ahmed bin Ali.

sumber:- BH

Dua jaringan pada babak kedua menerusi Yazan Al-Naimat dan Musa Al-Taamari cukup untuk menyingkirkan ‘Taeguk Warriors’ yang terus kempunan 63 tahun untuk memburu gelaran ketiga sejak kali terakhir pada 1960.

-AGENSI