sukan

Legenda Kedah kongsi peribadi Allahyarham

Berita pemergian jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah amat dirasai khususnya buat keluarga dan peminat bola sepak tempatan.

Selain karakternya yang disegani, beliau juga dianggap sebagai jurulatih yang berani mengangkat dan mengembangkan bakat pemain muda di negara ini.

Salah seorang anak didiknya, Khyril Muhymeen Zambri menganggap Azraai bukan sahaja sebagai jurulatih, malah lebih kepada ayah yang bertanggungjawab mengembang kariernya sebagai pemain profesional.

Khyril yang turut berada dalam skuad emas Kedah pada 2007 dan 2008 menjelaskan Azraai memberi kepercayaan kepada pemain muda untuk berada dalam skuad utama dengan mereka berjaya mencipta sejarah memenangi kejuaraan ‘double treble’ ketika itu.

“Allahyarham adalah individu bertanggungjawab mengembangkan bakat saya dan juga beberapa pemain muda lain seperti Baddrol Bakhtiar dan Khairul Helmi Johari.

“Ketika itu kami rata-rata berusia 18 dan 19 tahun, namun beliau berani menyenaraikan kami dalam kesebelasan utama termasuk pada perlawanan penting.

“Kehilangannya cukup dirasai kerana jika tiada Azraai, mungkin kami tidak menyinar ketika itu,” katanya.

Terdahulu, BH Sukan melaporkan arena bola sepak negara kehilangan satu lagi permata berharga selepas Azraai yang pernah menyinari kancah bola sepak tanah air meninggal dunia di sebuah hospital di Alor Setar, hari ini.

Azraai, 71, pernah membimbing beberapa pasukan termasuk Kedah, Harimau Muda A, Negeri Sembilan, T-Team dan Kelantan.

Kejayaan paling manis yang pernah diciptanya adalah ketika membawa Kedah muncul pasukan pertama memenangi ‘double treble’ pada 2007 dan 2008.

sumber:- BH

Malah, beliau juga sentiasa memberi pandangan dan cadangan yang membina buat arena bola sepak Malaysia dalam usaha menaikkan lagi sukan berkenaan di negara ini.