sukan

Liverpool jadi mangsa Arsenal

Arsenal memanaskan kembali perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris apabila membenam pendahulu Liverpool 3-1 untuk merapatkan jurang antara kedua-duanya kepada dua mata selain melonjak ke tangga kedua awal pagi tadi.

Arsenal berhak mengutip tiga mata yang membolehkan mereka mengatasi Manchester City sekalipun mereka tidak menjangkakan menerima bantuan Virgil van Dijk dan Alisson yang melakukan kesilapan sekali gus menyaksikan Gabriel Martinelli kembali meletakkan mereka di depan pada minit ke-67.

Pemain gantian Leandro Trossard kemudian mengendurkan sebarang perasaan gementar dalam kalangan peminat Emirates apabila dia memastikan kemenangan pada masa kecederaan dengan jaringan menerusi celah kelangkang Alisson.

Bukayo Saka memberikan Arsenal gol pendahuluan dengan penamat tenang pada minit ke-14 tetapi gol sendiri Gabriel pada masa kecederaan babak pertama merencatkan kerja keras awal mereka.

Berada di ambang kekalahan kedua mereka dalam liga sepanjang musim, kedua-duanya di utara London, kekecewaan Liverpool lebih terserlah apabila Ibrahima Konate dibuang padang pada minit-minit akhir kerana layangan kad kuning kedua susulan kekasaran ke atas Kai Havertz.

Cabaran kejuaraan Arsenal mengendur pada permulaan tahun ini tetapi tiga kemenangan berturut-turut berjaya melonjak mereka ke tangga kedua dengan 49 mata berbanding Liverpool 51 ketika kedua-dua pasukan sudah beraksi 23 perlawanan.

Juara bertahan Manchester City, yang beraksi awal pagi esok, mengumpul 46 mata daripada 21 perlawanan.

“Agak mengecewakan untuk melepaskan gol selepas babak pertama yang amat bagus tetapi kami sedar kami beraksi 45 minit terbaik musim ini,” kata pemain tengah Arsenal, Declan Rice.

“Kami berada di puncak ketika Krismas dan kemudian mengharungi beberapa keputusan buruk. Kini kami kelihatan kembali meletakkan pasukan ini di landasan yang tepat.”

“Ia satu hari yang sukar,” kata Van Dijk. “Saya bertanggungjawab sepenuhnya dengan gol 2-1 itu, ia titik perubahan paling besar. Ia mengecewakan saya dan seluruh pasukan.”

Jaringan Trossard, yang terbias di kaki Van Dijk dan menerusi celah kelangkang Alisson, mencetus keputusan yang meragukan terhadap kemampuan kelab Merseyside itu. – REUTERS