Jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu menyifatkan pasukan perlu memperbaiki banyak perkara dan sedia memikul tanggungjawab selepas disingkirkan Iran 1-2 pada aksi suku akhir Piala Asia.
Naib juara 2019 dan juara empat kali itu menyertai kejohanan di Qatar sebagai pasukan pilihan namun prestasi mereka tampak tidak meyakinkan ketika kejohanan berlangsung.
“Saya memohon maaf kepada penyokong dan semua yang terbabit dalam bola sepak Jepun,” kata Moriyasu yang pernah membawa pasukan ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2022.
Moriyasu turut menzahirkan rasa terkilannya apabila pasukan tidak mampu membawa ‘detik gembira’ kepada mangsa gempa bumi di Jepun baru-baru ini.
“Saya juga berasa bertanggungjawab atas keputusan ini,” kata Moriyasu yang dilihat bakal berdepan kritikan apabila kembali ke tanahair nanti.
“Pegawai dan pemain sudah memberikan segala-galanya,” katanya. “Mereka sudah bersiap sedia sebanyak yang boleh dalam perlawanan ini dan juga kejohanan.”
Dalam pada itu, Moriyasu yang sudah mengendali Jepun sejak 2018 berkata, pasukannya perlu memperbaiki pelbagai aspek selepas ini.
“Kami dibolosi sekurang-kurangnya satu gol dalam setiap perlawanan dalam kejohanan ini. Sekiranya kamu tidak dapat mengekalkan rekod bersih, kamu tidak boleh menang.
sumber:- BH
“Kami sangat kecewa pada hari ini, dalam permainan terbuka dan bola mati,” katanya. – REUTERS