sukan

‘Kehadiran’ Ferdy Druijf mungkin selesaikan masalah striker Utama Pan Gon

Pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon mungkin tidak akan pening kepala lagi untuk mencari peledak utama pasukan kebangsaan bagi perlawanan antarabangsa akan datang apabila satu persatu pemain warisan berbakat muncul untuk mengisi kekosongan posisi terbabit.

Terbaharu, tular pula pemain kacukan yang dilihat sebagai ‘kategori A’ iaitu penyerang tinggi lampai dikenali sebagai Ferdy Druijf.

Perkara ini dikongsikan oleh laman Frfuturetalents berkenaan kelibat pemain berusia 25 tahun yang sedang menyinar di Belanda.

Berdasarkan semakan Arena Metro, pemain berkenaan lahir di Uitgeest, Belanda dan memulakan kerjaya awal bersama salah sebuah akademi bola sepak terbaik di sana iaitu Az Alkmaar Youth sebelum berjaya menembusi skuad utaka pada tahun 2019.

Pemain berketinggian 1.90 meter ini cukup lincah dan versatil di posisi hadapan sekali gus boleh beraksi sebagai pemain tengah menyerang dan juga penyerang utama.

Druijf ketika ini beraksi buat kelab Liga Austria, Rapid Vienna selepas tamat tempoh pinjaman bersama kelab Liga Utama Belanda, PEC Zwolle.

Lebih mengujakan, sekiranya pemain terbabit beraksi bersama skuad Harimau Malaya kemungkinan menjadi tonggak paling mahal iaitu dengan tanda harga 1 juta Euro (RM5.13 Juta).

Ketika ini, pemain paling tinggi nilainya dalam skuad Harimau Malaya dipegang tonggak berdarah kacukan Malaysia-Belgium, Dion Cools yang beraksi bersama kelab Thailand, Buriram United iaitu dengan nilai pasaran RM3.8 juta.

Bintang muda sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi yang juga pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia 2021 dan 2022 pula pemain kedua termahal apabila diberikan tanda harga RM2.3 juta.

Selain itu, pemain terbabit yang memiliki pertalian darah dengan Malaysia menerusi ibunya sudah mengikuti laman sosial rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sekali gus menguatkan keinginannya untuk beraksi buat Harimau Malaya.

Pemain tinggi lampai ini memiliki rekod jaringan memukau apabila meledak 112 gol dalam 226 penampilan sepanjang kariernya menurut statistik Transfermarkt.

sumber:- HM

Bekas pemain pasukan kebangsaan Belanda U20 ini juga memiliki pengalaman luas dalam pentas bola sepak antarabangsa bersama The Orange U20, U18 dan U17.