sukan

Dalam senyap Selangor FC buat kerja

Naib juara Liga Super musim lalu, Selangor FC (SFC) terus rancak dalam pasaran perpindahan pemain apabila memperkenalkan pemain import terbaharunya iaitu Alvin Fortes.

Pemain yang beraksi bersama Cape Verde itu adalah pemain import ketiga buat ‘The Red Giants’ selepas Umarbek Eshmurodov dan juga Ronnie Fernandez.

Pemain sayap itu sudah berkelana ke pelbagai negara untuk mengembangkan kariernya dengan Malaysia menjadi negara ke-10 dalam perjalanan bola sepaknya dan mengakui SFC sebagai pasukan terbaik untuk meneruskan bola sepaknya.

“Saya tahu akan kewujudan SFC dan sentiasa mengikuti perkembangan mereka. Bagi saya, ini adalah kelab besar yang mempunyai kemudahan untuk berlatih yang berkualiti dan mereka juga bermain dengan baik dalam liga musim lalu.

“Jadi, saya rasa ini kelab yang terbaik untuk saya teruskan kerjaya bola sepak,” kata Fortes menerusi laman rasmi pasukan itu, hari ini.

Sebagai rekod, bakat Fortes mula dihidu seorang individu yang membantu beliau menyertai program Nike Football: The Chance pada tahun 2013.

Menerusi program terbabit, 250 bersaing untuk menjadi dua pemain bertuah beraksi di England bawah tajaan jenama terkemuka itu dan legenda Belanda yang juga panel ketika itu, Patrick Kluivert memilih Fortes sebagai salah seorang pemenang program terbabit.

Sejak usia muda, Fortes melebarkan sayap ke beberapa buah negara seperti Finland, Turki, Greece dan Republik Czech untuk mengembangkan karier bola sepaknya.

Selain itu, dia juga pernah beraksi di Liga Georgia bersama FC Dila Gori dan mencetak 16 gol serta mencatat 11 bantuan gol dalam 51 penampilan.

sumber:- BBH

Fortes terus juga pernah beraksi di Liga Juara-Juara Asia (ACL) bersama kelab Uzbekistan, FC AGMK selain memiliki pengalaman di Liga Thailand bersama Nongbua FC dan Ratchaburi FC.