sukan

Akram dedah sebab pilih TFC

Mahu berguru dengan ketua jurulatih kelahiran Croatia, Tomislav Steinbruckner adalah faktor utama pemain tengah, Akram Mahinan memilih Terengganu FC (TFC) sebagai destinasinya pada musim ini.

Selain itu jelas bekas perancang skuad Kuala Lumpur City FC (KL City FC) itu, gemar cabaran baharu juga turut mendorong pemain kelahiran Kedah itu memilih skuad dari Pantai Timur untuk meneruskan kariernya pada musim ini.

“Selepas melihat corak permainan yang diterapkan Tommy (Tomislav) pada musim lalu, saya begitu tertarik untuk menimba ilmu lebih-lebih lagi ia bersesuaian dengan cara saya bermain sekali gus saya tidak berfikir panjang selepas mendapat tawaran daripada pihak pengurusan.

“Lagipun saya sukakan cabaran yang baharu selain skuad TFC ini bukannya calang-calang sebaliknya sebuah pasukan yang besar dalam saingan Liga M, jadi saya begitu teruja dengan suasana dan cabaran baharu nanti.

“Namun saya sedar ianya bukan kerja mudah untuk mengintai kesebelasan utama pasukan, bagaimanapun saya akan berusaha lebih keras lagi untuk membantu pasukan sekurang-kurangnya muncul tiga pasukan terbaik Liga Super selain mahu meraih trofi bersama TFC,” katanya.

Ketika ditanya adakah pasukan lain turut menawarkan kontrak kepadanya pada musim ini, jelas pemain yang pernah beraksi bersama PKNS, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah itu, sebanyak tiga pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

“Salah satunya pasukan KL City FC serta Kuching City FC (KCFC) selain TFC, namun saya lebih berminat untuk mulakan cabaran baharu dengan pasukan dari Pantai Timur ini.

sumber:- HM

“Apa yang saya harapkan peminat dapat menerima dan memberikan sokongan padu kepada saya serta pasukan,” kata pemain tengah bertahan itu.