sukan

Seronok tengok kawan-kawan main Malaysia

Penjaga gol pengalaman Izham Tarmizi Roslan masih menyimpan impian untuk kembali mewakili skuad Harimau Malaya walaupun terpaksa bersaing dengan beberapa pemain lain yang dilihat cukup hebat.

Walaupun sudah menjangkau usia 33 tahun namun Izham melihat peluangnya menyarung jersi Harimau Malaya masih terbuka dan hanya perlu berusaha keras untuk merealisasikan impian itu.

Katanya, dia yang kini beraksi bersama Sri Pahang turut sedar bahawa persaingan sengit perlu ditempuhi dengan beberapa penjaga gol lain yang sedang meningkat naik.

“Persaingan dalam Liga Malaysia antara penjaga gol semakin sengit dan jurulatih skuad kebangsaan mempunyai banyak pilihan. Ia menunjukkan kita tidak ketandusan penjaga gol.

“Saya sekarang perlu perbaiki prestasi. Saya berasa masih lagi ada penjaga gol yang lebih bagus, namun perkara itu tidak menjadi masalah kerana semua ada peluang (sertai skuad kebangsaan),” katanya.

Selain itu, Izham yang pernah beraksi bersama skuad kebangsaan sebelum ini berpendapat Harimau Malaya di bawah kendalian Kim Pan-gon boleh pergi lebih jauh selepas mempamerkan peningkatan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Katanya, banyak perubahan positif yang berlaku dalam skuad kebangsaan berbanding sebelum ini dengan Harimau Malaya dilihat lebih teratur dan sistematik.

“Tengok kawan-kawan yang bermain bersama skuad kebangsaan, saya berasa pasukan negara boleh pergi lebih jauh. Mungkin dalam Piala Asia 2023 bukan rezeki Harimau Malaya,” katanya.

sumber:- HM

Harimau Malaya berdepan detik mengecewakan di pentas Piala Asia 2023 apabila terkandas di peringkat kumpulan, namun kejayaan mengikat pasukan tangga 23 dunia, Korea Selatan 3-3 menjadi detik paling manis buat skuad negara di Qatar.