Qatar berdepan Uzbekistan di Stadium Al-Bayt, Al Khor esok bagi merebut tempat ke separuh akhir Piala Asia.
Selepas gagal menyerlah di laman sendiri ketika Piala Dunia 2022, tuan rumah Qatar mempunyai peluang untuk menggunakan kelebihan itu sekali lagi dalam kalangan pesaing Asia.
The Maroons memenangi ketiga-tiga aksi peringkat kumpulan untuk mendahului Kumpulan A sebelum bangkit menewaskan Palestin 2-1 di peringkat kalah mati.
Oday Dabbagh menjaringkan gol minit ke-37 untuk Palestin mendahului 1-0 tetapi Hassan Al-Haydos menyamakan kedudukan dalam masa kecederaan babak pertama.
Di awal babak kedua, Akram Afif menyempurnakan sepakan penalti untuk melayakkan tuan rumah mara ke suku akhir dan meneruskan misi mempertahan kejuaraan.
Uzbekistan pula mengatasi Thailand 2-1 di peringkat 16 terakhir. Azizbek Turgunboev membuka jaringan untuk White Wolves tetapi Supachok Sarachat kembali menyamakan kedudukan sebelum jaringan kemenangan Abbosbek Fayzullaev.
Uzbekistan mempunyai rekod lebih baik ke atas Qatar – menang sembilan daripada 14 pertemuan di antara mereka, dengan Qatar hanya tiga kemenangan.
Uzbekistan mara ke suku akhir dengan rekod kemenangan sempurna dalam tiga perlawanan berturut-turut.
Kali terakhir Qatar menewaskan Uzbekistan ialah pada Oktober 2014, 3-0 dalam aksi persahabatan.
Uzbekistan masih belum tewas dalam 11 perlawanan antarabangsa terakhir mereka, manakala Qatar memenangi kesemua empat perlawanan di Piala Asia kali ini.
Akram Afif menjadi peledak utama Qatar dengan empat gol dijaringkan sepanjang empat perlawanan.
sumber:- BH
Uzbekistan berada di ranking ke-68 dunia manakala Qatar 10 anak tangga di depan mereka. – AGENSI