sukan

Malaysia antara yang disenaraikan FIFA

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sekali lagi memuji pasukan kebangsaan Malaysia susulan prestasi memukau yang dipamerkan Harimau Malaya dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026.

Ia susulan badan induk bola sepak dunia itu menyenaraikan Malaysia sebagai antara lima pasukan yang berjaya meraih keputusan positif paling ketara dan di luar jangka.

Malaysia, Comoros, Ecuador, Rwanda and Venezuela menjadi lima pasukan pilihan FIFA dalam aksi awal kempen kelayakan Piala Dunia 2026 bagi benua Asia, Amerika Selatan dan Afrika.

Berdasarkan data daripada FIFA, skuad Harimau Malaya yang kini dibimbing Kim Pan Gon memenangi lima daripada tujuh aksi terakhir mereka dalam kelayakan Piala Dunia.

Jumlah itu termasuk dua kemenangan bagi kempen kelayakan Piala Dunia 2026 dengan Harimau Malaya ketika ini memimpin saingan Kumpulan D apabila mengumpul enam mata.

Skuad negara merekodkan kemenangan bersih dalam dua perlawanan awal selepas menewaskan Kyrgyzstan (4-3) dan Taiwan (1-0) pada November tahun lalu.

“Ketika pusingan kedua kelayakan peringkat AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) yang lain diketuai oleh pasukan gergasi seperti Jepun, Korea Selatan dan Arab Saudi, Malaysia menonjol sebagai pasukan yang menampilkan aksi cemerlang di luar jangka dalam Kumpulan D.

“Mereka mencipta rekod yang tidak tercalar (kemenangan bersih), mencatat kemenangan ke atas Republik Kyrgyz selepas pertarungan hebat dan mengatasi Chinese Taipei pada November.

“Oman yang berada di kedudukan ke-74 dunia iaitu 56 tangga di depan Malaysia, kedua-dua pasukan itu akan bertembung dalam dua aksi pada Mac,” jelas FIFA.

Harimau Malaya terlebih dahulu akan berdepan Oman di gelanggang lawan pada 22 Mac sebelum melayan kunjungan skuad Red Demons itu di tempat sendiri, 26 Mac ini.

Anak buah Pan Gon baru pulang daripada tugasan Piala Asia 2023 di Qatar yang mana Harimau Malaya yang layak secara merit selepas 43 tahun ke kejohanan itu terkandas di peringkat kumpulan.

sumber:- BH

Meskipun tersingkir awal, skuad negara bagaimanapun mendapat pujian apabila berjaya mengikat pasukan ranking 23 dunia, Korea Selatan 3-3 dalam aksi terakhir di Stadium Al Janoub, 25 Januari lalu.