sukan

Piala Asia : Korea Selatan ‘azab’ jumpa Australia

Jurgen Klinsmann berkata Korea Selatan “perlu bersedia untuk menderita” apabila menentang Australia pada aksi suku akhir Piala Asia esok, 72 jam selepas menewaskan Arab Saudi menerusi penentuan sepakan penalti.

Pasukan bimbingan Klinsmann mengharungi perlawanan pusingan 16 terakhir yang epik di Doha dan kini perlu melakukan proses pemulihan untuk menentang Australia yang mempunyai lebih masa melakukan persediaan.

Legenda Jerman itu berkata pemainnya “bersedia untuk bertempur” kerana mereka ingin menempah tempat ke separuh akhir menentang Jordan atau Tajikistan.

“Jika anda mahu mara ke pusingan kalah mati dalam kejohanan besar, anda perlu bersedia untuk menderita, anda perlu menghadapi kesakitan,” kata Klinsmann.

Korea Selatan bangkit daripada ‘kematian’ dengan menewaskan Arab Saudi bimbingan Roberto Mancini, selepas berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-99 untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Diketuai oleh Son Heung-min, Korea bermula agak perlahan tetapi mula menemui rentak permainan selepas itu, malah berpeluang memenangi perlawanan sebelum ia ditentukan menerusi penentuan penalti.

Mereka sedang berusaha untuk memenangi Piala Asia buat kali pertama sejak 1960.

Klinsmann memenangi Piala Dunia dan Kejohanan Eropah sebagai pemain dan bersedia untuk berkongsi pengalamannya dengan pemainnya.

sumber:- HM

“Sekarang bermulanya pentas lebih besar, dan saya suka saat ini. Saya harap mereka juga menikmatinya perlawanan itu,” katanya.