Roberto Mancini berkata beliau “bukannya tidak menghormati sesiapa” apabila hilang menuju ke terowong sebelum Korea Selatan mengambil sepakan penalti yang menyingkirkan Arab Saudi daripada Piala Asia awal pagi tadi.
Mancini berjalan menuju ke bilik persalinan di Stadium Education City, Doha selepas Abdulrahman Ghareeb terlepas penalti Arab Saudi kali kedua dan memberikan kelebihan kepada Korea Selatan.
Penyerang Wolverhampton Wanderers, Hwang Hee Chan merembat masuk untuk membantu Korea mara ke suku akhir menentang Australia, sekali gus menyaksikan pasukan kendalian Mancini tersungkur pada pusingan 16 terakhir.
“Saya minta maaf, saya fikir ia sudah berakhir,” kata pengendali dari Itali itu mengenai tindakannya keluar lebih awal.”Saya tidak berniat untuk tidak menghormati sesiapa,” jelas Mancini, yang memenangi Kejohanan Eropah bersama Itali pada 2021.
“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua pemain saya selepas apa yang mereka lakukan. Mereka banyak meningkat.”Penjaga gol kedua Jo Hyeon Woo muncul wira Korea Selatan pada penentuan penalti itu, turut menyelamatkan percubaan Sami Al-Najei untuk memberikan kemenangan 4-2 buat pasukannya, selepas terikat 1-1 pada hujung masa tambahan.
Cho Gue Sung meledak gol penyamaan pada minit ke-99 dalam masa sebenar untuk memaksa masa tambahan, selepas Abdullah Radif membuka tirai jaringan buat Saudi 33 saat sejurus masuk sebagai pemain gantian selepas rehat.
Mancini mengambil alih sebagai jurulatih Arab Saudi pada Ogos lalu namun beliau gagal mengemudi kejayaan Piala Asia pertama mereka sejak 1996.
sumber:- BH
“Saya terlalu gembira, saya terlalu sedih,” katanya.”Saya amat gembira kerana kami banyak meningkat. Kami bekerja sebulan bersama dan ini amat penting.”Kini kami satu pasukan. Jelas sekali kami perlu meningkat lebih lagi.” – AFP