sukan

Tiada kabel, Lupakan sejarah ‘kurang manis’ Kuzain dan Malaysia

Pemain kelahiran Amerika Syarikat (AS), Wan Kuzain Wan Kamal wajar dipanggil bagi membuktikan kemampuannya namun tiada ‘kabel’ bagi bekas pemain skuad Bawah 17 tahun (B-17) AS itu untuk terus bersama skuad Harimau Malaya.

Jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin menegaskan Kuzain yang kini beraksi bersama St Louis City SC 2 itu perlu dinilai terlebih dahulu bagi memastikan sama ada dia benar-benar sesuai dengan perancangan pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon.

Jelasnya, meskipun dia memiliki sejarah ‘kurang manis’ membabitkan mewakili negara sebelum ini namun kehadirannya dijangka dapat memberi nilai tambah yang baharu buat skuad kebangsaan khususnya bagi meneruskan Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027, Mac ini.

“Kalau dia betul-betul bagus dan berkemampuan, kita wajar beri dia peluang, contohnya dalam aksi persahabatan sebelum menentang Oman nanti. Jika dia terbukti bagus, apa salahnya kita beri dia tempat dalam skuad negara.

“Kualiti lebih penting dan kita harus berlaku adil pada Kuzain juga kerana setidak-tidaknya, kita akan ada banyak pilihan untuk skuad kebangsaan nanti. Cuma apa yang penting, kita uji dia dahulu dan tidak berikan dia slot automatik hanya kerana dia datang dari luar negara,” kata bekas pengendali UKM FC itu.

Terdahulu, skuad Harimau Malaya berpeluang menguji Wan Kuzain selepas pemain itu dipercayai sudah boleh mewakili skuad kebangsaan selepas ini.

Ia susulan laman sesawang bola sepak terkemuka, Transfermarkt mendakwa pemain berusia 25 tahun itu sudah kini memiliki kewarganegaraan Malaysia sekali gus berpeluang dipanggil barisan kejurulatihan skuad kebangsaan jika khidmatnya diperlukan.

Malah, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah menyatakan hasrat untuk memanggil pemain itu seperti yang dinyatakan abang kepada pemain itu yang juga Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal.

sumber:- BH

“Banyak komen biadap daripada ‘haters’ yang terpaling bola. FAM sudah pun berhubung dengan Wan Kuzain untuk sarung jersi Harimau Malaya,” katanya menerusi platform X.