sukan

Pemain JDT dinobat ‘terbaik’ Itali

Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Fernando Forestieri berada pada kelas tersendiri apabila muncul penjaring terbanyak bagi pemain Itali untuk tahun 2023.

Berdasarkan laman sesawang Transfermarkt seperti dikongsikan Johor Southern Tigers, pemain berusia 34 tahun itu meledak 21 gol dalam 30 aksi bersama pasukan yang memenangi ‘double quadruple’ dan menamatkan musim tanpa sebarang kekalahan domestik.

Lebih membanggakan, jumlah 21 gol itu mengatasi jumlah jaringan dilakar nama-nama besar di Eropah seperti Domenico Berardi yang meledak 20 gol dalam 33 penampilan bersama Sassuolo dan Ciro Immobile yang menjaringkan 14 gol buat Lazio.

Selain Forestieri, seorang lagi pemain Liga Super yang beraksi buat Sri Pahang FC (SPFC), Stefano Brundao turut tersenarai apabila pemain itu menyumbang 11 gol dalam 28 penampilan bersama skuad ‘Tok Gajah’.

Daripada senarai 13 pemain itu yang diletakkan laman sesawang terbabit, lima daripadanya termasuk Forestieri dan Brundao beraksi di luar Eropah.

Martin Boakye yang beraksi bersama AGMK di Liga Super Uzbekistan menjaringkan 13 gol dalam 37 penampilan sementara Manolo Gabbidiani yang bersama Al-Nasr di Liga Pro Emiriah Arab Bersatu (UAE) merekodkan 10 gol dalam 36 perlawanan.

Seorang lagi pemain dari luar Eropah iaitu Igor Coronado beraksi bersama Al-Ittihad pula berjaya meledak 10 gol dalam 40 penampilan.

sumber:- BH

Antara pemain lain yang turut disenaraikan adalah Riccardo Orsolini (Bologna) dan Vincenzo Grifo (Freiburg) dengan 13 gol, Fabio Borini (11 gol), Antonio Candreva, Stephan El Shaarawy serta Giacomo Bonaventura dengan 10 gol.