sukan

Piala Asia: Sejarah tercipta selepas mara ke suku akhir

Jurulatih Tajikistan, Petar Segrt berkata pasukan yang kali pertama beraksi pada Piala Asia itu “tiada had” selepas layak ke suku akhir dengan kemenangan dramatik 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE) awal pagi tadi.

Alisher Shukurov merembat masuk sepakan penalti terakhir di Doha untuk membantu negara Asia Tengah itu – yang menghuni ranking ke-106 dunia – mara bertemu sama ada Jordan atau juara 2007, Iraq.

Penjaga gol Tajikistan, Rustam Yatimov menyelamatkan sepakan penalti kedua UAE menerusi Caio Canedo ketika penentuan penalti.

Tajikistan kelihatan akan meraih kemenangan bergaya apabila Vakhdat Khanonov menanduk masuk pada minit ke-30, namun Khalifa Al-Hammadi menyamakan kedudukan pada minit ke-95 untuk memaksa perlawanan berlanjutan ke masa tambahan.

Segrt menganggap pasukannya sebagai “kuda hitam kejohanan” dan berkata “tiada siapa tahu sejauh mana kami boleh pergi.””Saya tiada had terhadap pemain kerana setiap perlawanan mereka mengejutkan saya sekali lagi,” kata pengendali berkarisma dari Croatia itu.

“Impian saya berikutnya adalah untuk ke pusingan berikutnya sekali lagi. Saya fikir di Tajikistan malam ini, tiada siapa akan tidur.”

UAE layak ke separuh akhir dua Piala Asia terakhir tetapi anak buah Paulo Bento tersingkir di tangan Tajikistan yang menghuni lebih 40 anak tangga di bawah mereka.

Tajikistan seri dengan China dan menumpaskan Lubnan pada pusingan pertama untuk layak sebagai naib juara Kumpulan A.

Segrt berkata, gol penyamaan UAE pada lewat permainan menyentap pemainnya tetapi “mereka pantas bangkit.”

sumber:- BH

“Inilah karakter pemain, jurulatih, negara kami,” katanya. “Ini benar-benar satu semangat juang tinggi.” – AFP