sukan

Arif Aiman ‘meletop’ lagi, terima pengiktirafan AFC

Masa depan bintang muda bola sepak negara, Arif Aiman Hanapi terus bersinar apabila dipilih sebagai pemain masa depan paling menyerlah dalam perlawanan ketiga Piala Asia 2023 di Qatar.

Arif Aiman, 21, yang mempamerkan aksi memukau ketika aksi terakhir Kumpulan E menentang Korea Selatan berjaya memikat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bersama tiga lagi pemain lain.

Selain pemain lincah Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, tiga lagi tonggak terdiri pemain Korea Selatan yang beraksi bersama Paris Saint Germain (PSG), Lee Kang-in; pemain Iraq, Ali Jasim dan pemain Palestin, Zeid Qunbar diumumkan sebagai bintang masa depan benua ini.

Pemilihan Arif Aiman dianggap tepat di mana sumbangannya ketika membantu Malaysia mengikat pasukan gergasi, Korea Selatan dengan 3-3 cukup menakjubkan.

Paling mencuri tumpuan gerakan solo Arif Aiman dari tengah padang yang berjaya mengatasi lima pemain lawan khususnya pemain Wolves di Liga Perdana Inggeris (EPL), Hwang Hee-chan yang gagal menghalang pemain negara itu.

Malah Arif Aiman juga berjaya membuka ‘akaun jaringan’ pertamanya di pentas Piala Asia ini apabila tenang menyempurnakan sepakan penalti sekali gus berpeluang menambah gol pada edisi 2027, sekiranya pasukan negara mampu layak di Arab Saudi nanti.

Mengulas tentang itu, ejen terkenal tanah air Effendi Jagan Abdullah percaya masa depan Arif Aiman akan terus bersinar dan berharap potensinya akan terus digilap oleh JDT untuk tahun-tahun mendatang.

“Dia memang ada potensi untuk pergi jauh dan ‘terbang’ lebih tinggi sebagai seorang pemain bola sepak.

“Saya harap dia akan terus meningkat dan jurulatihnya di kelab akan dapat menyerlahkan lagi kemampuan Arif Aiman untuk tampil lebih berbisa.

“Sudah tentu pentas Piala Asia ini akan beri suntikan motivasi untuk dia terus berjaya dan menempa lebih banyak kejayaan sama ada dengan kelab mahupun pasukan negara,” kata Effendi.

Untuk rekod, pemain kelahiran Pahang itu sudah meledak 36 gol bersama JDT dalam semua kejohanan sejak 2020, dan tujuh gol bersama skuad Harimau Malaya.

sumber:- HM

Dia dijangka terus menjadi taruhan JDT dalam saingan Liga Malaysia serta Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada musim baharu ini yang akan memulakan kempen Mei ini.