sukan

Son Heung-min dedah situasi di bilik persalinan gara-gara Malaysia

Ketua pasukan Korea Selatan Son Heung-min menggesa media dan penyokong mengelak daripada membuat kritikan melampau ke atas rakan sepasukannya selepas mereka bergelut mara ke peringkat 16 terakhir Piala Asia semalam.

Korea Selatan yang juga juara dua kali kejohanan dianggap antara pasukan pilihan tetapi mereka tidak berada pada prestasi terbaik di Qatar selepas dibolosi dalam semua perlawanan termasuk seri 3-3 ketika menentang Malaysia dalam aksi terakhir peringkat kumpulan.

Heung-min berkata ada di antara komen diterima pasukannya sejak beberapa hari lalu tidak wajar diulangi.

“Saya minta jasa baik anda semua, lindungi pemain ketika kejohanan dan bantu pasukan. Memang sedih, ia benar-benar memberi kesan di dalam bilik persalinan,” katanya kepada wartawan mengenai kritikan diterima mereka.

“Ada diantara kami dikritik dengan cercaan melampau dan ia mengecewakan pasukan. Kami bekerja keras di atas padang dan memberikan apa sahaja untuk penyokong dan negara.

“Tolong lindungi pemain, rakan sepasukan dan pasukan itu sendiri. Sebelum mereka bergelar pemain, mereka sama seperti anda. Mereka mempunyai keluarga dan anak-anak.

Korea Selatan hanya menduduki tangga kedua di belakang Bahrain dalam Kumpulan E dan Heung-min berkata, ia memberikan isyarat ancaman pasukan lain tidak boleh dipandang ringan jika mereka mahu menamatkan kemarau 64 tahun untuk gelaran ketiga.

“Apabila anda menyertai kejohanan ini, tiada pasukan pilihan kerana sentiasa ada ‘underdog’ yang mengejar anda,” kata Heung-min.

“Bagi bola sepak Asia, ia sangat bagus kerana kejohanan ini semakin sukar. Semua pasukan berminat dengan kejohanan ini sekarang sekali gus petanda sangat baik.

sumber:- HM

“Keputusan sukar diterima tetapi kredit wajar diberikan kepada pasukan Malaysia, mereka berjuang sehingga minit terakhir dan saya bangga dengan bola sepak Asia.”