sukan

Bukan biasa – biasa harga pertahanan Korea Selatan diperdaya Faisal Halim

Siapa sangka pemain skuad Harimau Malaya mampu memperkotak-katikkan pemain Korea Selatan yang dilabel antara pertahanan tengah terbaik dunia?

Itu yang berlaku selepas pemain sayap lincah negara, Faisal Halim mudah memperdayakan pertahanan Korea Selatan, Kim Min Jae yang juga pertahanan terbaik Serie A 2022/23 pada aksi terakhir Kumpulan E Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub, malam tadi.

Ketika perlawanan memasuki minit ke-50, Malaysia mendapat peluang memperoleh gol hasil tekanan Darren Lok dan bola dikutip Arif Aiman Hanapi namun berjaya ditutup Min Jae.

Bola bagaimanapun disambar Faisal yang kemudiannya melarikan bola ke sebelah kanan pintu gol Korea Selatan dan dia kemudiannya memperdayakan pertahanan bernilai RM255 juta yang kini beraksi bersama Bayern Munich untuk terus memastikan bola di kakinya.

Dia kemudiannya turut memperdayakan penjaga gol Korea Selatan, Jo Hyeon Woo sehingga Hyeon Woo ‘terduduk’ untuk menutup peluangnya menjaringkan gol.

Selepas kawalan bola yang baik, Faisal tenang menyudahkan bola dengan kemas ke dalam gawang Korea Selatan sambil hanya mampu disaksikan pemain Korea Selatan untuk gol penyamaan Malaysia.

Berdasarkan komen netizen di laman media sosial, rata-rata menyifatkan jaringan itu bertaraf dunia dan layak dinobatkan sebagai jaringan terbaik Piala Asia 2023.

Sementara itu, Faisal menjelaskan jaringan itu adalah gol yang hampir sama diledaknya pada tahun 2015 ketika beraksi bersama skuad belia Pulau Pinang.

“Saya pun tak jangka gol itu berlaku, tetapi ini semua rezeki daripada Allah. Kita hanya bekerja keras dan buat apa yang kita mampu sebenarnya.

sumber:- BH

“Kalau lihat kepada gol itu saya teringat waktu saya main (skuad) belia Pulau Pinang pada tahun 2015. Saya rasa ada satu gol yang hampir sama,” kata Faisal.