sukan

Lee Zii Jia berjaya lunas dendam untuk mara ke suku akhir

Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia berjaya mengelak ‘episod duka’ daripada berulang apabila mengatasi wakil Hong Kong, Ng Ka Long untuk melangkah ke suku akhir Masters Indonesia, sebentar tadi.

Meskipun menerima tentangan sengit daripada lawannya itu, Zii Jia tampil dengan corak permainan agresif dan tenang menyerap tekanan untuk memenangi perlawanan 22-20, 21-15 pada aksi pusingan kedua yang berlangsung di Istora Senayan di Jakarta.

Sebagai rekod, Zii Jia yang menduduki ranking ke-10 dunia tewas di tangan Ka Long pada pusingan kedua Masters Indionesia, tahun lalu.

Ini adalah suku akhir kedua buat bekas juara Seluruh England itu musim ini selepas turut menjejakkan kaki kelompok lapan terbaik pada saingan Terbuka India minggu lalu sebelum tewas di tangan wakil Jepun, Kodai Naraoka.

Sebelum itu, Zii Jia tersingkir di pusingan pertama Terbuka Malaysia, dua minggu lalu.

Kemenangan, hari ini menyaksikan Zii Jia akan menempah pertemuan menentang pemenang perlawanan antara pemain Kanada, Brian Yang dengan Priyanshu Rajawat dari India bagi perebutan tiket ke separuh akhir, esok.

sumber:- BH

Sementara itu, langkah beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie terhenti di pusingan kedua selepas tunduk di tangan pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeung Na Eun 10-21, 16-21.