Ketua jurulatih Korea Selatan, Jurgen Klinsmann tetap menghormati Harimau Malaya meskipun pasukannya membawa reputasi jauh lebih besar dalam pertembungan di Stadium Al Janoub, esok.
Malah, Klinsmann menganggap aksi terakhir Kumpulan E berdepan Malaysia itu sebagai perlawanan yang sukar berdasarkan kesungguhan yang dipamerkan Harimau Malaya dalam aksi sebelum ini.
Pengendali dari Jerman itu berkata, pasukannya tetap akan menurunkan skuad terkuat berdepan Harimau Malaya kerana mereka sememangnya mahukan kemenangan.
“Kami bersedia untuk perlawanan esok, namun saya jangkakan ia tetap akan menjadi perlawanan yang sukar bagi kami. Malaysia pasukan yang bagus, kami melihat mereka bermain dan kami menghormati mereka.
“Kami mendapat pengajaran daripada aksi menentang Jordan, mereka sangat agresif dan beraksi dengan sangat bagus. Malah mereka juga mengubah cara permainan kami,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Selain itu, Klinsmann turut memuji ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon yang dilihat berjaya membimbing skuad itu ke tahap terbaik.
Korea Selatan yang berada di tangga ke-23 dunia perlu mendapatkan tiga mata berdepan pasukan ranking 130, Malaysia untuk melangkah ke pusingan 16 terakhir selaku juara Kumpulan E.
Sementara itu, penjaga gol Korea Selatan, Jo Hyeon-woo menjelaskan keputusan perlawanan esok adalah bergantung kepada persembahan pasukannya.
sumber:- BH
“Sekiranya kami berjaya mempamerkan persembahan terbaik dan memberikan 100 peratus dalam perlawanan esok, kami akan menang,” katanya.