sukan

‘Kami sudah tunaikan janji kepada Rakyat Palestin’

Kapten Palestin, Musab Al-Battat berkata, pasukannya sudah menunaikan janji kepada rakyat Palestin apabila mara ke pusingan kalah mati Piala Asia buat pertama kali.

Kemenangan 3-0 ke atas Hong Kong juga adalah kemenangan pertama mereka dalam sejarah kejohanan dan sudah mencukupi untuk layak ke pusingan 16 terakhir sebagai salah satu daripada empat pasukan tangga ketiga terbaik.

Oday Dabbagh muncul wira di Doha dengan meledak dua gol dan pemain-pemain serta kakitangan pasukan Palestin meraikan kemenangan dengan mengibarkan bendera.

Emiriah Arab Bersatu turut mara sebagai naib juara Kumpulan C walaupun tewas 2-1 kepada pendahulu, Iran.Kemenangan Palestin hadir ketika negara mereka masih bergolak dengan serangan pengganas Israel. Pemain dan kakitangan turut kehilangan ahli keluarga mereka.

AL-Battat berkata: “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong kami. Kami berjaya mengukir senyuman kepada mereka yang mengikuti kami… di dalam atau di luar Palestin.”

Sebelum perlawanan, laungan “Bebaskan Palestin” kedengaran.

Hong Kong dan Palestin masing-masing belum pernah memenangi perlawanan Piala Asia dan kemenangan akan membawa mereka ke peringkat kalah mati.

Pada minit ke-12, Palestin membuka jaringan apabila Battat membuat hantaran ke dalam kotak penalti dan ditanduk Dabbagh ke dalam gawang.

Dia awal babak kedua, Palestin menambah jaringan menerusi Zeid Qunbar, juga menerusi umpanan Battat.

Gol ketiga Palestin hasil percubaan jarak jauh Tamer Seyam yang terkena palang sebelum disudahkan oleh Dabbagh.

sumber:- BH

Battat turut menghadiahkan sepakan penalti kepada Hong Kong apabila bola terkena tangannya, tetapi sepakan Everton Camargo terkena palang.