sukan

Sah ikat selama dua musim

Prestasi meyakinkan Syazwan Andik memastikan pemain pertahanan itu kekal bersama Sri Pahang FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) untuk dua musim lagi.

Pemain berusia 28 tahun itu menandatangani kontrak bersama skuad kendalian Fandi Ahmad sehingga tahun 2026.

Pengumuman itu dibuat menerusi hantaran di Facebook rasmi Sri Pahang FC hari ini.”Syazwan Andik bersama Tok Gajah dan telah menandatangani kontrak selama dua musim untuk terus bersama Sri Pahang FC.

“Syazwan pada musim lalu berstatus pemain pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT). Pemain lincah ini tekad mahu lebih menyinar dan kelab gembira untuk mengekalkan khidmatnya di Darul Makmur,” kata Sri Pahang.

Syazwan, Izham Tarmizi Roslan dan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham adalah tiga pemain yang dipinjam dari JDT musim ini.

Semalam, SPFC mengesahkan Azrif Nasrulhaq kekal bersama skuad Tok Gajah dan bersetuju menandatangani kontrak selama dua musim sehingga tahun 2026.

Setakat ini, status Izham Tarmizi yang juga bekas penjaga gol kebangsaan, sama ada kekal bersama skuad Tok Gajah atau tidak akan diketahui dalam tempoh terdekat.

sumber:- BH

Musim lalu, tiga pemain berkenaan antara nadi utama Sri Pahang pada penampilan pertama mereka bersama skuad itu.