sukan

Pulanglah dengan bermaruah — Bekas Pemain

Skuad Harimau Malaya perlu pulang bermaruah dengan mengutip sekurang-kurangnya satu mata pada perlawanan akhir kumpulan E bertemu Korea Selatan, Khamis ini.

Bekas pemain negara Mohd Razip Ismail berkata, barisan pemain negara seharusnya tidak gentar terhadap status Korea Selatan sebagai pasukan Piala Dunia apabila perlu bersedia menggempur lawan itu kelak.

Beliau yang pernah menentang Korea Selatan pada aksi kelayakan Piala Dunia 1989 berkata, pasukan terbabit mempunyai kekuatan daripada segi larian dan ketepatan hantaran sekali gus barisan pemain Harimau Malaya perlu lebih berhati-hati berdepan lawan itu.

“Walaupun pintu Malaysia untuk beraksi di pusingan seterusnya sudah tertutup namun bukanlah bermakna kita harus beraksi cukup syarat atau sambil lewa.

“Kita harus pulang dengan bermaruah iaitu sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata untuk negara. Jangan gentar terhadap status Korea Selatan kerana segalanya boleh berlaku di atas padang. Cuma pemain kena lebih peka dan tidak melakukan kesilapan mudah,” katanya.

Related Post

Selain itu, Razip yang pernah membimbing Harimau Muda B berkata, barisan pemain yang mewakili negara antara yang terbaik namun nasib tidak menyebelahi mereka kerana tumpas kepada Jordan dan Bahrain.

“Skuad Harimau Malaya sudah melakukan yang terbaik termasuklah jurulatih pasukan iaitu Kim Pan-gon. Mungkin penyertaan akan datang kita boleh lakukan lebih baik lagi,” katanya.

Harapan skuad negara untuk melangkah jauh dalam saingan Piala Asia edisi ke-18 ini tidak kesampaian apabila kalah kepada Jordan dan Bahrain, sekali gus peluang ke peringkat kalah mati tertutup rapat.

sumber:- HM

Dengan tersingkirnya Malaysia, perlawanan terakhir kumpulan menentang Korea Selatan boleh dianggap sebagai aksi pelengkap jadual yang tidak akan mengubah kedudukan skuad Harimau Malaya di tangga tercorot kumpulan.