sukan

Piala Asia : Sejarah tercipta pada penampilan sulung

Tajikistan mencipta sejarah tersendiri pada penampilan sulung di Piala Asia apabila mara ke pusingan 16 terbaik selepas bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan 2-1 ke atas Lubnan yang terpaksa bermain dengan 10 pemain.

Pada perlawanan di Stadium Jassim bin Hamad itu, gol kemenangan Tajikistan bimbingan Petar Segrt dijaringkan pemain gantian, Nuriddin Khamrokulov dalam masa kecederaan babak kedua selepas Parvizdzhon Umarbayev menyamakan kedudukan pada minit ke-80.

Terdahulu Lubnan meledak gol sulung menerusi Bassel Jradi hanya selepas dua minit babak kedua bersambung, namun kegembiraan itu bertukar tragedi apabila pemain pertahanan Kassem Al Zein dilayangkan kad merah susulan terjahan keras ke atas Alisher Dzhalilov pada minit ke-56.

Kejayaan mengutip tiga mata itu melonjakkan Tajikistan ke kedudukan kedua dengan mengumpul empat mata sekali gus muncul naib juara kumpulan sementara Lubnan kendalian Miodrag Radulovic menamatkan kempen di kedudukan terakhir dengan membawa pulang satu mata.

sumber:- BH

Pada pusingan 16 terbaik, Tajikistan dijadual membuat perhitungan dengan naib juara Kumpulan C yang masih belum dimuktamadkan manakala Qatar akan menanti pasukan ketiga terbaik antara Kumpulan C, D atau E. – BERNAMA