sukan

Langkah Malaysia belum tamat

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyifatkan langkah Harimau Malaya yang terhenti di peringkat Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 sebagai bukan penamat segala-galanya buat skuad bola sepak negara.

Beliau menjelaskan, walaupun Harimau Malaya tidak mara ke pusingan 16 terakhir, namun skuad itu mendapat pendedahan di peringkat antarabangsa menentang pasukan yang jauh lebih kuat.

Katanya, menentang pasukan gergasi Asia, Korea Selatan, Khamis ini akan membantu pemain negara memperolehi pengalaman yang tidak ternilai.

“Setiap perlawanan, peminat hanya mahu melihat pemain kita memberikan yang terbaik. Piala Asia bukanlah penamat segala-galanya. Masih banyak lagi yang perlu ditempuhi bermula Mac depan, termasuk kelayakan Piala Dunia.

“Malaysia mesti berusaha untuk memastikan kelayakan melalui merit selepas 42 tahun bukanlah satu keajaiban. Kita mesti menjadikannya sebagai suatu kemestian dalam setiap Piala Asia,” tulis Hannah di laman Facebook miliknya.

Harimau Malaya terkandas di peringkat kumpulan selepas tewas 0-1 kepada Bahrain, Sabtu lalu dan skuad kendalian Kim Pan Gon akan menutup saingan mereka berdepan Korea Selatan di Stadium Al Janoub.

Selain itu, Hannah turut berterima kasih kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) atas layanan yang baik sepanjang beliau berada di sini.

“Terima kasih khas buat Ultras Malaya kerana menunjukkan kepada saya, betapa mereka adalah penyokong setia berkelas dunia. Menang atau kalah, mereka kekal melaungkan sorakan dan menyanyikan lagu Negaraku dengan penuh rasa bangga.

sumber:- BH

“Mereka menabung dan menanggung kos sendiri (ada sesetengahnya perlu melalui transit yang sangat lama), namun kekal setia di sisi pasukan kebangsaan walaupun sebelum pasukan kita layak ke pusingan ini lagi,” katanya.