Kelibat kapten Korea Selatan, Son Heung Min bakal dirantai pemain Harimau Malaya dalam aksi terakhir Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub, di sini, Khamis ini.
Ia susulan pemain sayap skuad kebangsaan, Safawi Rasid memberi bayangan bahawa skuad Harimau Malaya akan memberi lebih tumpuan terhadap bintang Tottenham Hotspur itu.
Safawi menjelaskan, dia percaya dengan perancangan barisan kejurulatihan diketuai Kim Pan Gon dan kemampuan rakan sepasukan untuk memberi persembahan positif berdepan skuad Taegeuk Warriors.
“Semua orang tahu Son adalah pemain terbaik. Saya sebenarnya suka bercakap dengan rakan sepasukan sebab saya tahu kalau satu lawan satu mungkin dia (Son) boleh (lepas), tetapi kalau dua lawan satu atau tiga lawan satu mungkin dia boleh (dikekang).
“Dia pun manusia biasa, saya berasa kelebihan kita sebab kita bertahan dan dia menyerang. Saya percaya dengan rakan sepasukan dan barisan jurulatih,” katanya kepada media di hotel penginapan pemain, di sini, hari ini.
Melihat kepada persiapan yang dilakukan skuad Harimau Malaya ketika ini, Safawi bakal menjadi antara pemain yang akan mengisi kesebelasan utama dalam pertembungan dengan Korea Selatan.
Safawi pernah mencipta sensasi pada Sukan Asia 2018 apabila meledak dua gol ketika membantu skuad bawah 23 tahun negara melakar kejutan besar menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam aksi peringkat kumpulan.
sumber:- BH
Malah, skuad Korea Selatan yang beraksi ketika itu turut dibarisi beberapa pemain yang ada dalam skuad mereka di Piala Asia ketika ini termasuk Son.