sukan

‘Daddy’ kenapa kalah — Faisal Halim

Skuad Harimau Malaya terpaksa mengerah keringat sehingga tiga kali ganda sekiranya mahu meraih keputusan paling terbaik apabila berdepan pasukan nombor tiga Asia, Korea Selatan, Khamis ini.

Ia berdasarkan reputasi besar dimiliki skuad Taegeuk Warriors yang menghuni kedudukan ke-23 dunia, jika dibandingkan dengan Harimau Malaya yang berada di kedudukan 130 dunia.

Malah, pasukan kendalian Jurgen Klinsmann itu memiliki ramai bintang bertaraf dunia antaranya termasuk kapten mereka yang juga pemain Tottenham Hotspur, Son Heung Min dan Kim Min Jae (Bayern Munich).

Pemain sayap Harimau Malaya, Faisal Halim sedar bahawa skuad negara berdepan tugas yang amat sukar untuk berdepan juara dua kali Piala Asia itu.

Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey bagaimanapun menegaskan tiada siapa pun yang sukakan kekalahan dan Harimau Malaya akan memberikan yang terbaik berdepan Korea Selatan.

“Apa jadi sekali pun dengan Korea Selatan ini kita kena bagi yang terbaik. Takkan kita nak balik dengan gol yang banyak, sekurang-kurangnya kita bekerja lebih dua atau tiga kali ganda untuk berdepan mereka.

“Bukan perlawanan yang mudah, kita lawan pasukan Piala Dunia dan saya berasa peluang untuk kita menang memang sukar. Sekarang atas kertas kita kalah, tapi sebagai pemain tiada siapa pun nak kalah.

Related Post

“Apabila anak saya hubungi saya, dia tanya ‘Daddy’ kenapa kalah, saya sebagai ayah apa yang saya nak jawab dekat anak saya. Jadi saya sebagai pemain pun terkesan dengan kekalahan,” katanya.

Harimau Malaya yang sudah tersingkir dari persaingan merebut tiket ke pusingan 16 terakhir menghuni tangga tercorot Kumpulan E selepas tewas kepada Jordan dan Bahrain sebelum ini.

Meskipun sedar mengenai jurang besar Harimau Malaya dengan Korea Selatan, namun Mickey tetap mengimpikan untuk mencipta jaringan sekiranya diturunkan dalam perlawanan itu.

“Sudah tentu setiap perlawanan saya nak jaringkan gol. Semasa lawan Bahrain pun saya ada peluang untuk menjaringkan gol, tetapi saya nampak ada ruang lebih baik dimiliki Paulo (Josue) pada malam itu.

sumber:- BH

“Namun, apabila saya tengok video itu semula, saya berasa mampu buat rembatan. Bagaimanapun situasi pemain dalam padang lain dan (situasi) orang yang tengok dekat TV lain,” katanya.