sukan

Malaysia pasukan ‘terburuk’ edisi kali ini

Kekalahan dua kali berturut-turut dalam saingan Piala Asia di Qatar bukan saja menyaksikan skuad Harimau Malaya tersingkir awal, malah satu-satunya pasukan dari Asia Tenggara yang belum mencetak sebarang gol serta paling banyak dibolosi.

Walaupun Vietnam turut tersingkir dan tidak mendapat sebarang mata seperti Malaysia, namun skuad Naga Emas itu sekurang-kurangnya tetap berjaya menjaringkan dua gol ketika hampir mengejutkan Jepun yang terpaksa bangkit untuk menang 4-2.

Begitupun perjalanan kempen skuad kendalian Kim Pan-gon agak menyedihkan apabila langsung tidak mampu meraih sebarang gol apabila tewas 0-4 dan 0-1, masing-masing di tangan Jordan dan Bahrain dalam Kumpulan E.

Angka bolos itu dijangka meningkat apabila skuad negara menentang Korea Selatan dalam aksi terakhir kumpulan pada Khamis ini, di mana pasukan gergasi Asia itu sudah semestinya turun dengan motivasi tinggi untuk meledak seberapa banyak gol untuk menolak Jordan di tangga kedua menerusi perkiraan jaringan.

Situasi itu pastinya disedari Pan-gon yang perlu merubah taktikal dan strategi permainan untuk mengelak menjadi ‘lauk’ anak buah Jurgen Klinsmann, selain cuba menyelamatkan maruah negara daripada dibelasah oleh bekas juara Piala Asia sebanyak dua kali itu.

Pasukan kebangsaan yang diketuai Matthew Davies juga sudah tentunya tidak mahu dilabel sebagai skuad paling ‘buruk’ pencapaian di Piala Asia selepas beraksi di saingan itu pada 1976, 1980 dan 2007.

Meskipun skuad 2007 tewas dalam semua aksi peringkat kumpulan dan dibolosi 12 gol, namun sekurang-kurangnya pasukan itu berjaya meledakkan satu gol hasil ledakan Indra Putra Mahayuddin yang kekal sebagai pemain negara terakhir menjaringkan gol di pentas tertinggi Asia itu.

Selain itu, edisi ke-18 di Qatar ketika ini menunjukkan peningkatan buat dua pasukan serantau iaitu Thailand yang berjaya mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik dari Kumpulan F.

Ia susulan kejayaan skuad Gajah Perang itu mencipta sensasi dengan menumbangkan Kyrgyzstan 2-0 yang pernah ditumbangkan Malaysia 4-3 pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada bulan November lalu.

Selepas itu, Thailand yang mendapat sentuhan jurulatih baharu dari Jepun, Masatada Ishii membuat kejutan apabila mengikat pasukan di ranking 74 dunia Oman tanpa jaringan untuk mengumpul empat mata daripada dua aksi setakat ini.

Satu lagi pasukan dari rantau ini iaitu Indonesia tampak hampir melayakkan diri ke peringkat kalah mati selepas menewaskan Vietnam (1-0) selain tewas kepada Iraq (3-1) untuk mengumpul tiga mata daripada dua aksi dilalui.

sumber:- HM

Lantas satu formula ‘ajaib’ diperlukan oleh barisan kejurulatihan negara bagi memastikan kempen skuad Harimau Malaya di temasya ini tidak bertukar tragedi malang yang mahu dielakkan, biarpun sebelum itu melalui perjalanan cukup cemerlang sepanjang 2023 dengan peningkatan ranking ke-130 yang tidak akan lagi diingati oleh peminat tempatan.