sukan

Harapan Palsu ‘menggunung’ Pan Gon

Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon mengakui kesalahan dirinya kerana menawarkan harapan tinggi kepada peminat-peminat bola sepak tempatan di kempen Piala Asia 2023.

Harapan ‘menggunung’ itu nyata memberi keterujaan kepada rakyat Malaysia untuk melihat Malaysia melakar kejutan di pentas Piala Asia selepas 43 tahun layak secara merit.

Bagaimanapun, pemilihan barisan 26 pemain dalam skuad akhir Harimau Malaya ke kejohanan berprestij Asia itu telah menimbulkan pelbagai persoalan namun janji ditawarkan Pan Gon sedikit sebanyak meredakan isu berkenaan.

Sehinggalah bermulanya aksi pertama dibelasah Jordan 4-0 dengan percaturan taktikal menjadi kesilapan susulan menurunkan tiga pertahanan, selain dikatakan skuad kendalian Hussein Ammouta melakukan perubahan strategi daripada kebiasaan mereka bermain, menyebabkan Malaysia terperangkap.

Seterusnya, kekalahan 1-0 di tangan Bahrain pada aksi kedua Kumpulan E Piala Asia di Stadium Jassim bin Hamad, kelmarin memperlihatkan sedikit peningkatan berbanding perlawanan pertama namun ianya hanya bertahan pada 45 minit pertama namun selepas itu kembali ‘teruk’ dan pemilihan pemain gantian dilihat sebagai punca utama.

Justeru, beliau mengambil tanggungjawab terhadap keputusan yang diraih skuad negara sepanjang kejohanan itu yang sedang berlangsung di Qatar, dengan aksi pelengkap jadual menentang Korea Selatan akan menjadi penutup ‘suram’ skuad Harimau Malaya di pentas Piala Asia kali ini.

“Tiada apa yang salah, inilah (tahap) di mana kami berada. Mungkin jurulatih salah, saya memiliki harapan yang sangat tinggi. Saya berikan impian terlalu tinggi. Mungkin saya beri harapan terlampau tinggi kepada orang ramai dan pemain, mungkin silap saya.

“Sebagai jurulatih, ini masalah saya. Bukan daripada pemain, bukan daripada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), bukan daripada orang ramai.

“Jadi ini semua masalah jurulatih,” kata Pan Gon pada sidang media selepas Harimau Malaya tewas 0-1 menerusi gol tunggal Ali Madan pada penghujung permainan sekali gus menunjuk jalan keluar awal buat Malaysia di pentas Piala Asia 2023.